SOUTHGATE (dua dari kiri) menyeru kepada penyokong sebelum perlawanan agar menghormati pendirian pemain. FOTO EPA
SOUTHGATE (dua dari kiri) menyeru kepada penyokong sebelum perlawanan agar menghormati pendirian pemain. FOTO EPA
AFP

Middlesbrough: Pengurus England, Gareth Southgate mengakui ejekan terhadap anak buahnya yang melutut ketika mencatat kemenangan 1-0 dalam aksi persahabatan menentang Romania di Midddlesbrough bukan sesuatu yang mengejutkan.

Ia adalah reaksi yang sama kepada Three Lions ketika membuat pergerakan anti perkauman itu sebelum pertemuan dengan Austria Khamis lalu, juga di Stadium Riverside.

Southgate menyeru kepada penyokong sebelum perlawanan agar menghormati pendirian pemain berkenaan isu berkenaan dan berkata England akan terus melutut sebelum sepak mula dalam semua perlawanan Euro 2020 tidak kira reaksi apa yang bakal diterima mereka ketika itu.

Seramai 22,000 penyokong akan datang dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan di Wembley dengan jumlah penonton masih lagi dihadkan berikutan pandemik Covid-19.

"Saya sebenarnya sudah menjangkakan apa yang akan terjadi bakal terjadi. Ia tidak akan menghalang apa yang kami lakukan atau percaya atau menyokong para pemain dan juga staf.

"Kami harus membiasakan diri diejek sedemikian. Kami akan terus melangkah ke depan tanpa harus membincangkan perkara ini dengan terperinci," katanya.

Selepas aksi bermula, penalti Marcus Rashford menyaksikan mereka mencatat kemenangan kurang meyakinkan tatkala Southgate membariskan skuad eksperimen.

Lima pemain yang tidak berada dalam senarai akhir bagi saingan Euro melakukan penampilan.

Masih ada satu lagi tempat untuk direbut dalam skuad 26 pemain selepas Trent Alexander Arnold mengalami kecederaan.

James Ward-Prowse, Ben Godfrey dan Ben White diberi peluang untuk memburu tempat selepas diletakkan dalam kesebelasan utama, manakala Jesse Lingard dan Ollie Watkins masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 10:04 AM