COOLS (kanan) gembira bersama pasukan dan pemain lain juga dikatakan boleh menerimanya sebagai satu pasukan. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
COOLS (kanan) gembira bersama pasukan dan pemain lain juga dikatakan boleh menerimanya sebagai satu pasukan. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Beraksi dalam liga elit eropah dan berpengalaman bersaing dengan bintang bola sepak dunia tidak bermakna pemain kacukan negara Dion Cools adalah pemain 'kayangan' atau berada di kedudukan lebih tinggi.

Hal ini kerana Cools dikatakan antara pemain mudah mesra dan cepat bergaul dengan pemain lain dalam skuad Harimau Malaya walaupun mereka kali pertama berjumpa.

Situasi terbabit diakui Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mendedahkan pemain berdarah kacukan itu cepat selesa dengan rakan sepasukan baharunya meskipun baru sahaja menyertai kem latihan pusat di Dubai, Isnin lalu.

"Dia nampak gembira bersama pasukan dan pemain lain pun boleh menerimanya sebagai satu pasukan. Dalam sesi latihan pun, kita nampak tanda positif daripada Cools.

"Kita lihat dia ada personaliti dan karakter di atas padang. Walaupun baru menyertai pasukan tetapi dia boleh bergaul dengan baik bersama pemain yang lain.

"Sudah tentu dia perlukan masa untuk mengenal nama nama pemain tetapi kami yakin dia boleh menyesuaikan diri dengan situasi itu," katanya.

Sebagai rekod, pemain berusia 25 tahun itu adalah rekrut terbaharu skuad kebangsaan apabila menjadi pemain ke-26 dalam skuad kebangsaan untuk mengharungi pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Dubai.

Dengan kemasukan pemain yang beraksi di Midtjylland dalam saingan Liga Denmark itu, ini menyaksikan skuad kebangsaan kini diperkuat dengan enam pemain berdarah kacukan.

Selain Cools, lima lagi pemain berdarah kacukan yang menyarung jersi skuad kebangsaan adalah Sam Sommerville, Matt Davies, La Vere Corbin Ong, Junior Eldstal dan Brendan Gan.

Sementara itu, Cools yang dilahirkan di Kuching, Sarawak, mengucapkan terima kasih kepada pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang membantu merealisasikan impiannya untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

"Bersyukur dengan situasi ini. Terima kasih diucapkan Tunku Mahkota Johor yang membantu menjadikannya kenyataan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 4:31 PM