ISAAC kini beraksi untuk kelab divisyen 2, Charlotte Independence.
ISAAC kini beraksi untuk kelab divisyen 2, Charlotte Independence.
Syazwan Msar


KETIKA mata lebih tertumpu kepada pemain sensasi yang sedang meningkat naik di Amerika Syarikat (AS), Wan Kuzain Wan Kamal, sebenarnya ramai tidak mengetahui atau terlepas pandang terdapat seorang lagi individu berdarah kacukan turut membuat penampilan di negara ‘Uncle Sam’ itu.

Pemain terbabit adalah Isaac Angking, 19, berdarah kacukan Malaysia-AS yang kini beraksi untuk kelab divisyen 2, Charlotte Independence, selain mewakili pasukan remaja AS.

Isaac pernah membuat tiga penampilan bersama skuad Bawah 17 (B-17) dan empat kali Bawah 20 (B-20) AS masing-masing pada 2017 dan 2018.

Pemain yang bermain di posisi tengah bertahan itu memulakan karier dalam bola sepak sejak berusia 14 tahun dengan menyertai skuad belia New England Revolution yang beraksi di Major League Soccer (MLS).

Ketika usianya 18 tahun, dia sudah dipanggil membarisi kesebelasan utama New England Revolution sebelum dia dibelenggu kecederaan.

Terkini, pemain yang lahir di Rhode Island itu dipinjamkan ke Charlotte Independence dan dilihat sebagai antara tunjang utama kepada pasukan berkenaan untuk bersaing dalam liga divisyen dua.

Ejen pemain terbabit, Nicco Roffo ketika dihubungi Arena Metro mengesahkan pemain terbabit mempunyai darah kacukan Malaysia-AS dan beraksi cemerlang bersama pasukan walaupun sebelum ini pernah dibelenggu kecederaan.

Beliau berkata, Isaac berbesar hati dapat menabur bakti kepada negara kelahiran ibunya jika diberi peluang atau dipanggil menyarung jersi skuad kebangsaan.

“Isaac begitu berbangga mempunyai pertalian darah Malaysia dan terbuka jika mendapat panggilan untuk menyarung jersi kebangsaan.

“Umurnya baru 19 tahun, karier bola sepak dia masih panjang dan sekarang ini tumpuan utama adalah pada kelab yang diwakilinya.

Roffo berkata, tiada pihak terutama wakil daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menghubunginya bagi membincangkan perkara terbabit.

“Adakah baru sekarang mereka mengetahui Isaac mempunyai darah kacukan Malaysia? Buat masa ini FAM tidak menghubungi Isaac atau saya untuk bertanya mengenai kemungkinan mewakili skuad kebangsaan.

“Tapi apa yang boleh saya katakan Isaac sudah pasti akan mempertimbangkan perkara terbabit,” katanya.

Sementara itu, ibu pemain berkenaan, Daliah Angking mengesahkan Isaac berdarah kacukan Malaysia-AS dan memberitahu dia berasal dari Kuching, Sarawak, selain ahli keluarganya masih lagi ramai menetap di negeri Bumi Kenyalang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 6:30 AM