AGUERO diperkenalkan oleh Barcelona semalam. FOTO AFP
AGUERO diperkenalkan oleh Barcelona semalam. FOTO AFP
Agensi

London: Sergio Aguero menunjukkan kemurahan hatinya apabila memberi ganjaran kepada setiap kakitangan Manchester City sebelum meninggalkan kelab itu untuk menyertai Barcelona.

Sensasi Argentina itu mahu memastikan dapat berterima kasih kepada kesemua individu sekelilingnya yang membantunya sepanjang sedekad bersama kelab itu sehingga menyaksikannya memenangi 15 trofi termasuk lima kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Menurut The Athletic, penyerang berbisa itu memberikan tiket kepada setiap kakitangan City untuk berpeluang memenangi sebuah Range Rover miliknya bernilai £40,000 (RM234,000).

Dia turut menghadiahkan jam Hublot atau Tag Heuer kepada setiap kakitangan City yang mempunyai perkataan 'Gracias! Kun Aguero'.

Salah seorang kakitangan memenangi kereta mewah milik Aguero itu manakala setiap jam yang dihadiahkannya bernilai sekurang-kurangnya £1,000 (RM5,800).

Penjaring terbanyak sepanjang sejarah City itu akan menyertai Barcelona apabila kontraknya berakhir hujung bulan ini namun dia sudah pun diperkenalkan secara rasmi di Nou Camp, semalam.

Aguero berkata, dia sangat berbangga kerana dapat menyertai kelab terbesar di dunia.

"Kita semua tahu Barca adalah kelab terbaik di dunia, jadi saya rasa sudah melakukan keputusan yang tepat untuk berada di kelab ini dan membantu pasukan.

"Sudah pasti ia satu lagi langkah ke depan dalam karier saya. Harap saya dapat membantu pasukan memenangi trofi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 11:01 PM