AGUERO
AGUERO
AFP

London: Sergio Aguero mengakui bahawa dia berterima kasih kepada bekas kelabnya Manchester City kerana menghasilkan patungnya sebagai tanda penghargaan gol paling terkenal ketika beraksi bersama City.

Aguero berjaya menjaringkan gol pada masa kecederaan menentang Queens Park Rangers (QPR) bagi mengesahkan City muncul Juara Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad pada 2012.

Gol minit ke-93 dari penyerang Argentina itu memberikan City gelaran juara pertama mereka sejak 1968 dengan bonus tambahan apabila berjaya mengalahkan musuh ketat mereka, Manchester United pada hari terakhir saingan liga.

Esok ulang tahun ke-10 jaringan dramatik Aguero buat City yang kini termasuk dalam lima gelaran liga utama di bawah pemilik kelab yang berpangkalan di Abu Dhabi itu.

Aguero mencetak jaringan peribadi ke-260 untuk City sebelum berhijrah ke Barcelona tahun lalu.

Pemain berusia 33 tahun itu bersara pada Disember lalu disebabkan sakit jantung yang dialaminya, tetapi status legendanya di City kini akan diabadikan dengan patung di luar Stadium Etihad itu.

Arca patung itu difahamkan akan menggambarkan sambutan gol Aguero ketika dia melambai jersey bagi meraikan jaringan gol menentang QPR.

Ia akan dipertontonkan pada hari esok.

"Sejujurnya, ia adalah perkara yang sangat indah buat saya," kata Aguero, yang juga akan menghadiri pesta perjumpaan skuad City musim 2011/1012.

"Dalam 10 tahun itu saya dapat memenangi banyak trofi dan dapat membantu kelab menjadi salah seorang pemain paling penting di dunia.

"Saya sangat berterima kasih kepada kelab kerana membuat patung ini sebagai pengiktirafan kerjaya bola sepak saya di Manchester. Ia adalah sesuatu yang sangat istimewa.

"Saya masih sangat muda melihatkan diri saya 10 tahun lalu, ia perkara yang tidak dapat dilupakan," katanya.

Pemilik Manchester City, Khaldoon Al Mubarak berkata ianya sangat penting dalam mengiktiraf gol paling terkenal Aguero yang dijaringkan dalam sejarah kelab.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 9:25 AM