AGUERO sedekad bersama City. FOTO EPA
AGUERO sedekad bersama City. FOTO EPA
AFP

Barcelona: Barcelona menandatangani Sergio Aguero sehingga 2023, umum kelab gergasi Catalan itu, hari ini.

Menerusi satu kenyataan, Barcelona berkata Aguero yang tiba selepas sedekad di Manchester City, mempunyai klausa pembelian ditetapkan sejumlah 100 juta euro (RM504 juta).

Aguero menyertai Barcelona dua hari selepas gagal memenangi Liga Juara-Juara bersama City yang tewas kepada Chelsea di pentas final.

Pemain berusia 32 tahun itu meninggalkan City selaku penjaring terbanyak kelab itu dengan 260 gol.

Ia sekali gus menyaksikannya muncul pemain paling terbanyak sepanjang sejarah menjaringkan gol untuk sebuah kelab di Liga Perdana Inggeris dengan 184 gol sepanjang 275 penampilan.

Aguero kembali ke Sepanyol selepas lima tahun di Atletico Madrid antara 2006 sehingga 2011 dan kehadirannya di Barcelona diharap mampu meyakinkan rakan senegaranya, Lionel Messi untuk kekal bersama kelab itu.

Messi yang kontraknya akan berakhir hujung bulan ini, masih belum menandatangani lanjutan kontrak baru bersama Barcelona.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 11:10 PM