GUARDIOLA (kiri) akui berdepan lawan yang sukar dan Tuchel optimis apa saja boleh berlaku. FOTO AFP
GUARDIOLA (kiri) akui berdepan lawan yang sukar dan Tuchel optimis apa saja boleh berlaku. FOTO AFP
AFP

Porto: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola mempunyai tempoh 90 minit untuk merangkul kejuaraan yang mereka sangat idamkan namun Chelsea pula sejak beberapa bulan kebelakangan ini menunjukkan transformasi sangat memberangsangkan.

Kedua-dua pasukan bakal berentap dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Porto awal pagi Ahad dan ini adalah perlawanan akhir ketiga membabitkan dua pasukan dari Liga Perdana Inggeris (EPL) serta yang kedua dalam tempoh tiga musim.

Lebih menarik kedua-dua pasukan sudah melalui tempoh pembentukan menjadi kelab berpengaruh dalam tempoh dua dekad terakhir melalui pemilik luar yang membuat pelaburan besar sekali gus mengubah landskap EPL.

Bagaimanapun, Chelsea mempunyai pengalaman beraksi di pentas akhir dan menumpaskan Bayern Munich menerusi penentuan penalti pada 2012 dan sejak dari itu mereka sudah menjulang trofi Liga Europa sebanyak dua kali.

City pula tidak pernah mara sejauh ini dan akhirnya sudah tiba selepas 13 tahun pemilik dari negara teluk melakukan pelaburan.

Empat tahun percubaan mereka berakhir dengan kekecewaan di bawah kepimpinan Guardiola, individu yang dilantik untuk membawa kejayaan Piala Eropah.

"Kami adalah pasukan yang hampir sama terutama ketika kami tersingkir pada aksi sebelum ini. Kali ini margin dan sedikit perincian yang lebih kecil ia memihak kepada kami sedangkan sebelum ini berlaku sebaliknya," kata Guardiola yang memburu kejuaraan Liga Juara-Juara buat kali ketiga sebagai jurulatih.

Selepas meraih kejuaraan EPL buat kali ketiga dalam tempoh empat musim dan juga meraih Piala Liga musim ini, City yang dibarisi pemain seperti Kevin De Bruyne dan Riben Dias jelas adalah pasukan pilihan di Estadio do Dragao.

Chelsea pula sudah menumpaskan City sebanyak dua kali dalam enam minggu terakhir iaitu pada separuh akhir Piala FA dan perlawanan liga di Stadium Etihad.

"Saya menjangkakan kami berdepan lawan yang sukar," kata Guardiola.

Chelsea sudah melalui proses transformasi sejak Thomas Tuchel menggantikan Frank Lampard sebagai jurulatih Januari lalu, walaupun mereka menamatkan saingan domestik musim ini dengan tiga kekalahan dalam empat perlawanan termasuk final Piala FA ketika bertemu Leicester City.

"Kami sudah tiba di sini. Ia adalah pencapaian luar biasa dan apabila anda sudah sampai ke tahap ini, anda sudah tentu akan memberikan yang terbaik.

"Bagaimanapun, City yang dibimbing Pep mungkin sekarang ini adalah pasukan yang terbaik di Eropah, mungkin terbaik di dunia," kata Tuchel yang lega selepas Edouard Mendy dan N'Golo Kante kembali turun berlatih.

Tuchel berkata, sekarang ini sekali lagi dalam tempoh 90 minit semuanya bergantung harap kepada diri mereka sendiri.

"Dalam bola sepak semuanya boleh terjadi dan dalam perlawanan akhir juga apa saja boleh berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 11:52 AM