CHELSEA kembali bertenaga di bawah sentuhan Tuchel. FOTO AFP
CHELSEA kembali bertenaga di bawah sentuhan Tuchel. FOTO AFP
AFP

London: Pengendali Chelsea Thomas Tuchel mempunyai dua peluang untuk meranapkan impian Manchester City memenangi empat trofi musim ini dan mereka boleh melakukannya apabila dua pasukan itu bertembung di separuh akhir Piala FA, Ahad ini.

Chelsea mengintai peluang mereka apabila turun di Wembley dalam perlawanan yang akan menjadi medan latihan sebelum aksi Liga Juara-Juara nanti.

Leicester City akan bertemu Southampton dalam satu lagi aksi separuh akhir, manakala dalam saingan Liga Perdana Inggeris, beberapa perlawanan bakal mempengaruhi perebutan tempat dalam kelompok empat teratas serta zon penyingkiran.

Pengendali City, Pep Guardiola berkata selepas kemenangan ke atas Borussia Dortmund Rabu lalu adalah sesuatu yang perlu diraikan selepas mengesahkan tempat di separuh akhir Liga Juara-Juara

Dia berharap perlawanan di Wembley pada Ahad ini akan memberi satu lagi sebab untuk mereka meraikan kejayaan namun perlu lebih berhati-hati selepas tewas kepada Leeds dalam saingan liga minggu lalu.

Chelsea kembali bertenaga sejak Tuchel mengambil alih tempat Frank Lampard pada Januari lalu mampu meranapkan impian City untuk memburu empat trofi.

Sementara itu Liverpool terdesak untuk kembali ke saingan Liga Juara-Juara musim depan selepas kekalahan suku akhir di tangan Real Madrid.

Anak buah Jurgen Klopp, di tangga keenam EPL, kini tiga mata di belakang West Ham yang menghuni tangga keempat dan dua mata di belakang Chelsea.

"Saya lebih yakin, tetapi ia tidak bermakna kami akan berada di sana. Kami hanya boleh membaca kedudukan, mengira mata, situasi dan perkara sebegini," kata Klopp berkenaan peluang layak ke Liga Juara-Juara.

Liverpool berdepan Leeds pada awal pagi Selasa waktu Malaysia - selepas Marcelo Bielsa mengatasi Guardiola minggu lalu - tetapi selain pertemuan dengan Manchester United, baki perlawanan mereka tampak mudah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 1:13 PM