Tuchel (dua kiri) mengesahkan Kai Havertz (kiri) antara pemain yang mungkin tidak dapat beraksi apabila bertemu Aston Villa. FOTO AFP
Tuchel (dua kiri) mengesahkan Kai Havertz (kiri) antara pemain yang mungkin tidak dapat beraksi apabila bertemu Aston Villa. FOTO AFP
Agensi

London: Chelsea bimbang dengan situasi dialami tiga tonggak utamanya, N'Golo Kante, Kai Havertz dan Andreas Christensen menjelang perlawanan terakhir Liga Perdana menentang Aston Villa, Ahad ini.

Kante terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama ketika bertemu Leicester, Selasa lalu kerana kecederaan hamstring.

Bagaimanapun Tuchel enggan mencetuskan rasa bimbang apabila berkata: "N'Golo tidak cedera. Dia dikeluarkan sebelum mengalami kecederaan.

"Dia beritahu saya mungkin mengalami kecederaan hamstring dan bimbang akan mengalami kecederaan lebih teruk jika terus beraksi."

Havertz pula yang berhijrah dari Bayer Leverkusen pada musim perpindahan lalu, ditimpa kecederaan ketika pasukannya tewas kepada Leicester pada final Piala FA minggu lalu.

Tuchel mengakui pemain berusia 21 tahun itu masih belum pasti dapat diturunkan apabila bertemu Villa.

"Malangnya Kai berdepan kecederaan di Wembley. Dia merasai kecederaan di bahagian hamstring.

"Kami berharap dia dapat bersama skuad untuk pertemuan dengan Aston Villa, tetapi kami sendiri tidak pasti," katanya.

Christensen terlepas kedua-dua perlawanan bertemu Leicester serta kekalahan Chelsea di halaman sendiri kepada Arsenal kerana turut mengalami kecederaan hamstring.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 8:37 AM