AURIER (kiri) beraksi cemerlang ketika bertemu Sheffield United. FOTO EPA
AURIER (kiri) beraksi cemerlang ketika bertemu Sheffield United. FOTO EPA
Agensi

London: Ryan Mason memberi pujian khusus kepada Serge Aurier selepas membantu Tottenham meraih kemenangan 4-0 ke atas Sheffield United, Ahad lalu apabila mendedahkan pemain pertahanan itu sedang berpuasa pada perlawanan berkenaan sempena Ramadan.

Aurier berdepan prestasi tidak menentu sejak beberapa bulan lalu selepas memulakan kempen musim ini dengan cemerlang.

Dia antara beberapa pemain yang mempunyai hubungan tegang dengan Jose Mourinho dengan laporan menyatakan Aurier pernah keluar dari stadium ketika Tottenham tewas 1-3 kepada Liverpool, Januari lalu berikutan bertengkar dengan pengendali dari Portugal itu.

Bekas bos Spurs itu dikatakan mahu menjual Aurier pada hujung musim ini selepas memberitahu dia 'tidak boleh dilatih'.

Malah selepas ketiadaan Mourinho, masa depan bekas bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu masih belum pasti meskipun mempunyai baki kontrak selama 12 bulan dengan kelab Utara London itu.

AURIER mendirikan solat. FOTO IG Serge Aurier
AURIER mendirikan solat. FOTO IG Serge Aurier

Bagaimanapun Aurier berjaya memikat hati Mason yang meletakkannya dalam kesebelasan utama dalam kesemua tiga perlawanan selepas beliau membimbing kelab itu.

Dia menjadi watak penting kepada dua gol gol Gareth Bale ketika menentang Blades.

Ketika ditanya mengapa Aurier gagal memberi sumbangan besar dalam sebahagian besar musim ini, Mason berkata: "Saya rasa apa yang paling penting apabila anda sebagai seorang pemain pertahanan adalah untuk bertahan dengan baik.

"Dia beraksi dengan cemerlang pada perlawanan ini bersama barisan pertahanan lain.

"Serge sedang berpuasa, jadi saya rasa prestasinya lebih menakjubkan kerana dia tidak makan sepanjang hari. Jadi dapat beraksi selama 90 minit adalah sangat menakjubkan."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 10:44 AM