POCHETTINO (gambar kecil) percaya Aurier akan berubah. -Foto Agensi
POCHETTINO (gambar kecil) percaya Aurier akan berubah. -Foto Agensi
AFP

London: Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino yakin pertahanan baharunya, Serge Aurier tidak akan mensia-siakan peluang kedua selepas dibayangi masalah disiplin ketika bersama Paris Saint-Germain (PSG).

Pertahanan kanan berbakat Ivory Coast itu menyertai Spurs dengan yuran bernilai 23 juta pound daripada PSG pada hari terakhir jendela perpindahan, minggu lalu.

Perjanjian itu mengambil sedikit masa gara-gara permohonan permit kerjanya mengalami sedikit kerumitan kerana dia pernah dipenjara dua bulan atas kesalahan menyerang pegawai polis di luar kelab malam pada Mei 2016.

Pemain 24 tahun itu juga pernah digantung oleh PSG tahun lalu kerana dikatakan menghina bekas jurulatih Laurent Blanc menerusi video media sosial.

Pochettino yang bercakap di pusat latihan kelab itu di utara London, memberi penekanan terhadap disiplin, namun berkata dia yakin Aurier akan memanfaatkan peluang kedua itu.

“Saya bercakap dengannya, sudah pasti, mengenai perkara lain tetapi saya seorang manusia yang sentiasa memandang ke depan,” kata Pochettino menjelang aksi Liga Perdana Inggeris menentang Everton, Sabtu ini.

“Saya fikir ia satu perbualan panjang yang baik. Dia tahu apa yang kami harapakan daripadanya dan bagi kami, ia begitu penting, bukan saja dia tetapi juga untuk pemain lain supaya menjaga tingkah laku.

“Kami perlu memastikan suasana harmoni ini terus kekal. Saya percayakan dia, dan yakin dia boleh berjaya di sini dan mampu membantu pasukan mencapai apa yang kami impikan.”

Selain Aurier, Tottenham menandatangani Fernando Llorente daripada Swansea dan Pochettino percaya penyerang 32 tahun itu akan membawa mentaliti kemenangan ke dalam skuadnya.

Llorente pernah menjulang Piala Dunia dan trofi Euro bersama Sepanyol, dan tidak ketinggalan trofi Liga Europa di Sevilla serta tiga gelaran Serie A dengan Juventus.

“Dia seorang pemain yang profesional. Dia juga adalah juara dunia - dia menang Piala Dunia bersama Sepanyol - dan mentaliti itu boleh diterjemah kepada kami,” kata Pochettino.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 10:31 AM