TCHETCHE berazam mahu menjadikan dua kemenangan lalu sewaktu KDA FC bertemu KL City 3-2 dan Melaka United 3-1 sebagai tonik terbaik. FOTO Ihsan KDA FC
TCHETCHE berazam mahu menjadikan dua kemenangan lalu sewaktu KDA FC bertemu KL City 3-2 dan Melaka United 3-1 sebagai tonik terbaik. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Penyerang import Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Kipre Tchetche mengakui peranan lebih mencabar yang harus digalasnya di ruang serangan bersama rakan seperjuangan Kpah Sherman pada aksi Liga Super menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Darul Aman malam esok.

Bagi Tchetche, aksi menentang JDT sebagai pendahulu liga ini bukan satu tugas yang mudah buat mana-mana pasukan pada masa ini, lebih-lebih lagi apabila melihat jumlah bolos mereka hanya enam gol sahaja.

Bukan sahaja Kedah, malah pasukan lain juga kini saling bersaing rapat dan hebat untuk terus mendaki ke kedudukan teratas pada carta dan ini jelas menjadikan saingan Liga Super 2021 semakin sengit, rancak dan menarik berbanding musim-musim lalu.

Pada aksi kali ini Tchetche berazam mahu menjadikan dua kemenangan lalu sewaktu KDA FC bertemu Kuala Lumpur City FC (KL City) 3-2 dan Melaka United (MU) 3-1 sebagai 'tonik' terbaik buat skuad Hijau Kuning dalam usaha memburu kemenangan di laman sendiri.

"Kami tahu yang kami akan berdepan JDT yang juga skuad teratas Liga Super dan memiliki kualiti pemain terbaik di setiap posisi, namun kami anggap tiada yang mustahil dalam bola sepak dan itu satu cabaran yang harus kami lalui dengan penuh semangat.

"Selepas mengecapi dua kemenangan berturut-turut itu, kini kami mahu meneruskan momentum kemenangan, namun, kami juga perlu lebih berwaspada dengan kewibawaan JDT yang pastinya dahagakan kemenangan selepas tidak merekodkan mata penuh dalam dua perlawanan sebelum ini." katanya.

Tchetche turut berkata kedudukan yang rapat antara empat pasukan teratas pada carta termasuk Penang FC dan Terengganu FC yang juga sedang menyaingi rapat dan cuma dibezakan dengan satu mata antara satu sama lain, turut menandakan tiada jalan mudah buat Kedah selain wajib berjuang pada tahap terbaik dalam semua perlawanan.

Selain itu Tchetche juga menganggap ketiadaan penyokong pada perlawanan kali ini disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan di Alor Setar sejak 1 Mei lalu sebagai satu ujian buat pasukan Kedah.

"Saya berharap disebalik rintangan dan cabaran yang dihadapi, pemain perlu terus cekal dengan semangat yang ada sepanjang perlawanan." katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 6:27 PM