Pemain KDA, Kpah Sherman (kanan) dihalang pemain PJ City FC, Jeremy Wei pada aksi Liga Super. FOTO Aizuddin Saad
Pemain KDA, Kpah Sherman (kanan) dihalang pemain PJ City FC, Jeremy Wei pada aksi Liga Super. FOTO Aizuddin Saad
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terus menghambat dua pasukan teratas Liga Super apabila naik ke tangga ketiga selepas meraih kemenangan 4-1 ke atas Petaling Jaya City (PJ City) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di Kelana Jaya, sebentar tadi.

Kejayaan memungut tiga mata penuh itu menyaksikan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak mengumpul 35 mata dengan masih memiliki baki lima aksi untuk ditamatkan musim ini.

Walaupun di atas kertas pendahulu liga iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) hanya memerlukan satu kemenangan daripada tiga aksi yang tinggal untuk mengesahkan kejuaraan, namun sebarang kemungkinan boleh berlaku.

Berdasarkan situasi semasa, KDA FC mampu meranapkan impian JDT dengan syarat wajib merakam lima kemenangan sambil mengharapkan skuad Harimau Selatan tercicir mata dalam baki saingan mereka.

Apapun, keazaman tinggi skuad Hijau Kuning ketika membenam PJ City cukup terserlah apabila mendominasi aksi sejak awal untuk memburu jaringan.

Pelawat jelas tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila mendahului dari minit keempat hasil sepakan percuma cantik dari tonggak import, Rabih Ataya yang tepat menuju ke sasaran untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Syihan Hazmi.

KDA terus memimpin perlawanan apabila hantaran lintang Kipre Tchetche mudah ditanduk Kpah Sherman dihujung babak pertama untuk meraih gol kedua.

Skuad The Phoenix yang tampil musim ini dengan tanpa sebarang pemain import terus tenggelam pada babak kedua apabila Sherman sekali lagi meledak pada minit ke-56 untuk meletakkan pelawat selesa tiga gol di depan.

Begitupun anak buah P Maniam tidak mudah mengalah dan tuan rumah berjaya meraih gol pertama hasil sentuhan bekas pemain Kedah, Khyril Muhymeen Zambri yang bijak memanfaatkan hantaran K Prabakaran pada minit 61.

Pemain gantian KDA, Fayadh Zulkifli menambah derita tuan rumah menerusi gol keempat pada masa kecederaan, sekali gus menamatkan aksi dengan kemenangan besar memihak pelawat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 11:10 PM