AZMI berharap semangat pemain Kedah terus meningkat untuk bertemu Johor Darul Ta'zim JDT esok malam. FOTO Ihsan KDA FC
AZMI berharap semangat pemain Kedah terus meningkat untuk bertemu Johor Darul Ta'zim JDT esok malam. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar : Perlawanan membabitkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Darul Aman esok malam boleh disifatkan umpama perlawanan akhir antara dua kelab teratas pada carta Liga Super.

Kelab penyokong Kedah melalui Timbalan Presiden Gabungan Ukhwah Lang Merah (GULM) Azmi Abdullah berkata ini kerana reputasi besar kedua-dua pasukan yang berada pada dua kedudukan itu pastinya menjadi tumpuan seluruh peminat bola sepak.

Bagi GULM, perbezaan satu mata antara kedua-dua pasukan iaitu KDA FC pada tangga kedua dengan 23 mata dan JDT yang kini menghuni tangga teratas liga dengan 24 mata menjadikan aksi di Stadium Darul Aman ini cukup menarik dan mendebarkan.

"Kami menganggap ini adalah antara perlawanan termahal liga dan boleh dirasakan seperti perlawanan akhir yang harus diberi perhatian kerana jika salah satu pasukan dapat meraih tiga mata, pasukan berkenaan bakal naik ke puncak liga pada aksi ke-12 kali ini.

"Jadi, kami sangat berharap pemain KDA FC kendalian Ketua Jurulatih Aidil Sharin Sahak dapat mengambil peluang beraksi dan berjuang sebaik mungkin kali ini untuk merampas kedudukan tangga teratas liga dengan pusingan kedua yang akan bermula.

"Bukan mudah untuk menyaksikan perlawanan membabitkan dua pasukan teratas liga beraksi di Stadium Darul Aman, malah penampilan kedua-dua pasukan ini memang sudah dinantikan penyokong sejak tahun lalu lagi," katanya.

Ditanya mengenai perasaan penyokong yang tidak dibenarkan masuk ke stadium ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan di Alor Setar sehingga 14 April ini, Azmi berkata, penyokong agak terkejut dan kecewa dengan pengumuman itu kerana mereka sudah membeli tiket, namun tetap akur dengan arahan berkaitan peraturan yang ditetapkan.

"Apa boleh buat ..sudah lama kami menantikan aksi JDT di Stadium Darul Aman ini lagi dan apabila dimaklumkan kehadiran penonton tidak dibenarkan, kami rasa terkejut dan kecewa namun kami tetap akur dan terima berita ini dengan reda dan menganggapnya tiada rezeki.

"Kami tidak patah semangat dan tetap akan memberi sokongan di belakang tabir dengan berdoa dan mengharapkan skuad Hijau Kuning terus cemerlang mengutip mata penuh seterusnya di laman sendiri dan dapat naik ke tangga teratas.

"Walaupun tiada kata-kata sorakan di dalam stadium, namun setiap pemain perlu tahu yang kami sentiasa 'ada' bersama mereka setiap kali mereka melangkah dan berjuang mencari kemenangan." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 5:44 PM