Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang berusaha merebut kedudukan teratas Liga Super, bakal kembali beraksi tanpa kehadiran dan sorakan penyokong Hijau Kuning pada aksi Liga Super menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Darul Aman, Selasa ini.

Ia berikutan pengumuman kerajaan Malaysia yang memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa daerah di Kedah yang turut membabitkan daerah Kota Setar bermula 1 hingga 14 Mei ini.

Dalam kenyataan media KDA FC hari ini, Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan Pengelolaan Perlawanan Tanpa Penonton akan kembali diaktifkan sepanjang tempoh PKP dilaksanakan di sini.

"Berikutan pengumuman kerajaan dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL), perlawanan Liga Super 2021 di antara KDA FC menentang JDT pada 4 Mei di Stadium Darul Aman, Alor Setar akan diadakan secara tertutup tanpa kehadiran penonton.

"Tiada jualan tiket dibenarkan dan tiket-tiket yang telah terjual akan dibayar balik oleh pihak Ticket Hotline International".

"Sehubungan itu, SOP Pengelolaan Perlawanan Tanpa Penonton adalah diaktifkan semula sepanjang tempoh pelaksanaan PKP ini sehingga sebarang pengumuman selanjutnya oleh kerajaan kelak".

Kedah sebelum ini memulakan aksi kehadiran semula penonton ketika bertemu Terengganu FC (TFC) pada 9 April dan Kuala Lumpur City FC (KL City) pada 23 April lalu selepas terpaksa beraksi tanpa sorakan penyokong pada tiga perlawanan sebelumnya ketika menentang Sabah FC (9 Mac), PJ City FC (17 Mac), Sri Pahang (2 April).

Kedah yang memungut 23 mata kini berada pada kedudukan tangga kedua dan kelompok tiga pasukan terbaik Liga Super dan menyaingi JDT yang berkelebihan satu mata setakat 11 perlawanan yang berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 5:35 PM