Kapten Terengganu FC, David Da Silva (kanan) diasak oleh pemain KDA FC, Rodney Celvin dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. FOTO Bernama
Kapten Terengganu FC, David Da Silva (kanan) diasak oleh pemain KDA FC, Rodney Celvin dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. FOTO Bernama
Izzali Ismail


Alor Setar: Pemain pertahanan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Rodney Celvin atau mesra dipanggil Bonai bakal terlepas baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini apabila mengalami kecederaan bahu ketika menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan di Gong Badak, semalam.

Perkembangan yang mengejutkan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak serta seluruh penyokong hijau kuning itu turut dimaklumkan oleh media rasmi KDA FC hari ini.

Pemain kelahiran Sarawak itu terpaksa dikejarkan ke hospital selepas insiden kecederaan yang dialaminya pada perlawanan terbabit.

"Rodney Celvin Akwensivie disahkan mengalami kecederaan bahu selepas di bawa ke pusat perubatan semalam bagi mengesahkan tahap kecederaannya.

"Aksi sepenuh jiwa beliau sepanjang bersama pasukan KDA FC cukup bernilai selepas diberi kepercayaan penuh untuk bergandingan bersama tonggak import, Renan Alves.

"Menurut penilaian awal perubatan, beliau perlu melalui proses rawatan susulan dan proses pemulihan yang akan menghadkan aksi beliau dan seterusnya tidak dapat meneruskan baki saingan musim ini." katanya.

Justeru, beberapa pemain yang diharapkan dapat menggantikan tempat Rodney selepas ini pastinya menjadi perhatian seterusnya antaranya pemain muda Lokman Hakim Marzuki dan Amirul Hisyam Awang Kechik yang kerap ditugaskan di bahagian itu.

KDA FC juga mendoakan agar kecederaan Rodney segera sembuh dan dapat kembali beraksi.

Rodney adalah pemain yang dipinjamkan dari Selangor FC bermula musim ini diakui pemain pertahanan kental selain sering mendapat pujian daripada penyokong Hijau Kuning.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 4:57 PM