WERNER (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
WERNER (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

London: Thomas Tuchel memuji kesungguhan barisan pemain Chelsea yang berjaya melangkah ke pentas final Liga Juara-Juara (UCL) selepas melakar kemenangan 2-0 ke atas Real Madrid, hari ini.

Gol menerusi Timo Werner dan Mason Mount memastikan Chelsea menempah tiket final Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak mereka memenangi saingan berprestij itu pada 2012.

Skuad bimbingan Tuchel akan bertemu seteru utama di Liga Perdana Inggeris, Manchester City di Istanbul pada 29 Mei.

Chelsea berhak meraih kemenangan menerusi agregat 3-1 selepas mempamer aksi meyakinkan pada separuh akhir kedua di Stamford Bridge dengan menafikan segala serangan Real serta kerap melakukan serangan balas.

Mereka dilihat mampu meraih kemenangan lebih meyakinkan namun Tuchel sudah cukup gembira dengan prestasi barisan pemainnya.

"Ia agak sukar pada separuh masa pertama apabila lawan menguasai permainan dan membuatkan kami bergelut seketika.

"Kami amat berbahaya ketika melakukan serangan balas tetapi tidak pernah lupa untuk terus bertahan dengan baik.

"Ia adalah persembahan yang hebat pada separuh masa kedua dan kami sepatutnya mampu menjaringkan lebih banyak gol. Apapun tahniah kepada pasukan," kata Tuchel.

Chelsea yang turut melangkah ke final Piala FA bertemu Leicester, mempunyai rekod 19 perlawanan tanpa kalah sejak Tuchel menggantikan Frank Lampard yang dipecat, Januari lalu.

Kesungguhan Chelsea itu dlihat mampu untuk menewaskan City yang pernah ditewaskan pada aksi separuh akhir Piala FA musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 7:27 AM