ZIYECH  (dua dari kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
ZIYECH (dua dari kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

London: Thomas Tuchel berkata Chelsea sudah mula mengimpikan final Liga Juara-Juara (UCL) selepas Hakim Ziyech mengakhiri kemarau gol ketika membantu menewaskan Atletico Madrid 2-0 dalam saingan peringkat kedua 16 terakhir pagi tadi.

Penyerang Maghribi, Ziyech meledak jaringan pertamanya sejak Oktober lalu untuk gol pendahuluan tuan rumah pada babak pertama di Stamford Bridge.

Emerson yang masuk daripada bangku simpanan menjaringkan gol kedua pada lewat permainan untuk mengesahkan agregat 3-0 ke atas pendahulu La Liga itu.

Atletico bertambah malang apabila Stefan Savic dibuang padang pada penghujung babak kedua selepas menyiku perut Antonio Rudiger.

Ketika Chelsea mendominasi hampir keseluruhan perlawanan, Atletico mendakwa mereka sepatutnya memperolehi penalti selepas Cesar Azpilicueta tampak mengasari Yannick Carrasco ketika kedudukan 0-0.

Tuchel mengakui ia mungkin penalti. Katanya: "Azpi agak gementar kerana situasi itu, saya turut cemas.''

Tetapi pengendali Atletico, Diego Simeone berkata: "Kami tak mahu mencari alasan. Kami tewas kepada pasukan lebih baik. Kami cuba menekan mereka tetapi gagal menyerang seperti biasa.''

Chelsea melebarkan rekod tanpa kalah kepada 13 perlawanan sejak Tuchel menggantikan Frank Lampard yang dipecat pada Januari lalu dan hanya dibolosi dua gol.

EMERSON (kiri) meledak gol kedua Chelsea. FOTO AFP
EMERSON (kiri) meledak gol kedua Chelsea. FOTO AFP

"Prestasi sangat baik dengan kerja keras berpasukan. Saya dapat rasakan semua mahukannya,'' kata Tuchel.

"Kami nikmati perlawanan ini. Pemain saya sangat bersemangat dan mereka amat dahagakan kemenangan dan mahu mara lebih jauh.''

Selepas membawa Chelsea ke peringkat lapan terakhir kali pertama sejak 2014, Tuchel mula membayangkan trofi UCL susulan dikecewakan Bayern Munich pada final musim lalu ketika dia menjadi pengendali Paris Saint-Germain.

"Suku akhir bermakna ada empat aksi lagi (sehingga final). Ia langkah besar dan kami amat teruja.''

Chelsea membuka tirai jaringan pada minit ke-34 selepas Ziyech yang mendapat hantaran Timo Werner dari sebelah kiri tenang menolak bola melepasi jangkauan penjaga gol lawan.

Hasil serangan balas pantas, Christian Pulisic melorongkan bola kepada Emerson yang berlari kencang sebelum merembat gol kedua untuk mengesahkan kemenangan tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 7:49 AM