CAVANI melayangkan badan melakukan tandukan yang menghasilkan jaringan buat United. FOTO AFP
CAVANI melayangkan badan melakukan tandukan yang menghasilkan jaringan buat United. FOTO AFP
AFP

London: Ole Gunnar Solskjaer memuji prestasi Edinson Cavani ketika Manchester United mengalahkan Tottenham 3-1 pagi tadi dan berharap mampu memujuk penyerang Uruguay yang akan tamat kontrak hujung musim ini kekal di Old Trafford.

Pemain berusia 34 tahun itu meledak gol kedua United hasil tandukan terbang sempurna bagi membolehkan United bangkit dari ketinggalan dan mencatat kemenangan tatkala gol pembukaannya pada awal saingan dibatalkan.

Cavani tiba di Old Trafford secara percuma Oktober lalu dengan bersetuju beraksi hingga akhir kempen, serta mempunyai peluang untuk menyambung kontrak tambahan selama setahun.

Bagaimanapun, sama seperti klausa penyambungan kontrak yang lain, ia harus dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak sebelum ia dimeterai dan terdapat spekulasi bahawa Cavani mungkin akan berpindah ke kelab gergasi Argentina, Boca Juniors.

"Prestasi mantap, kami sedang menunggu keputusannya jika dia mahu kekal atau tinggalkan pasukan.

"Permainan seperti hari ini, kami sebagai satu keluarga sangat merinduinya sudah bertahun-tahun, kami sudah lama tidak mempunyai pemain 'nombor sembilan, sudah sekian lama.

"Edinson sudah bekerja keras untuk kembali cergas dan kita dapat lihat pemain lain terikut-ikut dengan kemampuannya," kata Solskjaer.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 8:20 PM