DEVAN pada sidang media. FOTO Mohd Amin Jalil
DEVAN pada sidang media. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kekecewaan jelas terpancar di wajah ketua jurulatih Negeri Sembilan, K Devan selepas skuad bimbingannya, Negeri Sembilan FC (NSFC) mengalami kekalahan pertama musim ini, apabila tunduk kepada Kelantan United FC (KUFC), 2-3, malam tadi.

Lebih mengecewakan kekalahan itu dialami di gelanggang sendiri, Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, dan disaksikan 1,086 penyokong skuad Hobin Jang Hobin yang buat julung kalinya dibenarkan memasuki stadium selepas lebih setahun tidak berpeluang kerana wabak Covid-19.

"Saya terkejut dengan keputusan malam ini (malam tadi), tapi kita tahu dan dapat lihat punca kekalahan itu.

"Selain kesan daripada Saiful Ridzuwan Selamat yang dilayangkan kad merah sebelum babak pertama berakhir, dua gol mudah oleh Kelantan United pada babak kedua, meranapkan impian kita untuk mendapatkan kemenangan.

"Sepatutnya dua gol yang dijaringkan pasukan lawan pada separuh masa kedua itu boleh dielak jika pemain NSFC lebih fokus dan tidak melakukan kesilapan mudah terutama dalam kawasan gol," katanya selepas perlawanan.

Devan juga berkata, ketiadaan Nasrullah Hanif Johan yang tidak dapat diturunkan juga memberi kesan terutama di bahagian pertahanan dan pengganti Osman Mohd Yusoff dilihat tidak begitu berkesan bergandingan dengan Annas Rahmat.

"Pertahanan utama, Fernando Barbosa Pereira juga tidak begitu cergas kerana baharu pulih daripada kecederaan.

"Faktor-faktor ini jelas menjejaskan rentak pasukan, malah jika kita dapat beraksi dengan 11 pemain dan bertahan dengan kemas sepanjang tempoh masa kedua, mungkin kita boleh capai kemenangan," tegasnya.

Pengendali berpengalaman itu juga tidak menafikan tekanan dialami skuad Rusa apabila berada di puncak carta liga.

Beliau berkata, mana-mana pasukan yang tampil ke Paroi pasti bekerja keras untuk menang dan NSFC yang baharu dibentuk tiga bulan belum mencapai tahap prestasi terbaik.

"Kita terima kekalahan ini dan yang penting pemain sedar sebab utama kekalahan itu, supaya mereka dapat perbaiki tahap prestasi dan tidak mengulangi lagi kesilapan mudah yang boleh mengundang padah," katanya.

Sementara itu, pengendali KUFC, Akira Higashiyama ternyata gembira dengan kemenangan dicapai anak buahnya walaupun beraksi di tempat lawan.

Beliau berpuas hati dengan komitmen tinggi dan aksi agresif yang dipamerkan pemain pasukan itu sepanjang tempoh permainan.

"Biarpun NSFC berjaya menjaringkan gol seawal minit pertama permainan tetapi ia tidak menggugat fokus pemain, sebaliknya mereka berjaya mengatur gerak sepertimana yang kita rancangkan.

"Syabas dan tahniah kepada pemain kerana menunjukkan peningkatan dalam persembahan dan berjaya mendapat tiga mata dengan menewaskan pasukan hebat seperti Negeri Sembilan yang berada di puncak carta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 12:52 PM