KETUA jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC) K Devan pada sidang media selepas perlawanan malam tadi. FOTO Mohd Amin Jalil
KETUA jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC) K Devan pada sidang media selepas perlawanan malam tadi. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC) K Devan akui lega dengan aksi mantap dipamerkan pemain pasukan itu susulan kejayaan menewaskan Kelantan FC, 2-1, dalam saingan Liga Perdana, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Tegas pengendali berpengalaman itu, walaupun turun dengan tekanan susulan tewas mengejut kepada Kelantan United FC 3-2, pada aksi 9 April lalu di gelanggang sama, pemainnya tampil dengan persembahan lebih mantap bagi mendapatkan mata penuh.

"Memang pemain turun malam ini (malam tadi) dengan sedikit tekanan selepas kekalahan dialami kepada Kelantan United tempoh hari, tapi mereka dapat buktikan bahawa situasi itu tidak terlalu mengganggu rentak hingga berjaya mendapatkan kemenangan.

"Biarpun kita diberikan tentangan sengit daripada pasukan lawan, namun hasil kesungguhan pemain memanfaatkan peluang, membolehkan kita kembali ke landasan kemenangan," katanya.

Beliau bagaimanapun tetap bimbang dengan tahap prestasi skuad bimbingannya terutama di bahagian pertahanan, walaupun berjaya meletakkan kembali skuad Hobin Jang Hobin di tangga teratas carta liga.

"Setiap kali beraksi kita berjaya mendapatkan jaringan gol tetapi dalam masa yang sama kita juga mudah bolos. Keadaan ini memang meresahkan saya dan jelas bahagian pertahanan perlu diperkasakan lagi.

"Jentera serangan juga perlu diberikan perhatian serius kerana banyak juga peluang yang dicipta tetapi gagal diterjemahkan dengan jaringan," tegas pengendali kelahiran Bahau itu.

Mengulas lanjut persembahan malam tadi, Devan berkata, penjaga gol utama, Mohd Muhaimin Mohamad terpaksa dikeluarkan seawal minit ke-14 kerana kecederaan di bahu kanan.

Menurutnya, pihaknya terpaksa menurunkan pemain muda, Mohamad Fahmi Faizal, 21, yang kali pertama beraksi susulan ketiadaan Saiful Ridzuwan Selamat yang tidak tersenarai kerana kesalahan kad merah.

"Selain itu, R Barathkumar juga tidak cergas 100 peratus dan ini beri sedikit kesan pada keseluruhan persembahan.

"Namun begitu, saya ucapkan tahniah kepada pemain kerana kemenangan ini dapat meletakkan kembali pasukan di tempat pertama carta, malah saya yakin ia juga akan menambah keyakinan pemain untuk berhadapan dengan Sarawak United selepas ini," katanya.

Kapten pasukan, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak muncul wira Negeri Sembilan menerusi ledakan dua gol pada minit ke-4 dan 69.

Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan, Marco Ragini, akur dengan keputusan perlawanan yang tidak memihak kepada skuad bimbingannya.

"Hasrat kita untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata dari sini tapi tidak kesampaian dan saya akui Negeri Sembilan beraksi lebih baik malam ini.

"Namun sedikit terkilan dengan beberapa insiden pemain tuan rumah mudah jatuh hingga mengganggu rentak pemain Kelantan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 11:34 AM