HAALAND menjadi buruan Man United. FOTO AFP
HAALAND menjadi buruan Man United. FOTO AFP
AFP

London: Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer berkata beliau masih menghubungi Erling Braut Haaland dan tidak pernah menolak untuk mendapatkan bintang Borussia Dortmund itu.

Penyerang berusia 20 tahun itu menjadi rebutan kelab di seluruh dunia selepas beraksi bersama Salzburg dan Dortmund.

Solskjaer pernah membimbing Haaland, anak kepada bekas rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan Norway, Alf-Inge, di Molde dan pernah mencuba memujuk bintang itu untuk bergabung semula dengannya di Old Trafford pada musim lalu.

Ejen Haaland, Mino Raiola berkata hanya 10 kelab di dunia mampu membeli pemain itu dengan empat daripadanya dari England.

Ditanya adakah penyerang itu antara pemain yang mahu dilihat beraksi di Old Trafford satu hari nanti, Solskjaer berkata: "Saya rasa sebagai jurulatih apabila anda melatih kanak-kanak dan pemain, anda akan terus mengikuti perkembangannya dan sudah pasti saya juga sentiasa berhubung dengan Erling.

"Amat menarik dapat melihatnya menjadi pemain seperti yang kita lihat sekarang dan saya tahu dia pasti sentiasa bekerja keras sepanjang masa.

"Dia adalah pemain Dortmund. Kami hanya mengucapkan kejayaannya di sana dan kemudian sama-sama kita nantikan apa yang berlaku.

"Siapa yang tidak berminat untuk mendapatkannya setahun lalu? Setiap pasukan pastinya mahukan pemain terbaik di dunia dan Erling adalah pemain berkelas dunia."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 12:27 PM