Penyerang Itali, Ciro Immobile (kiri) dicabar pemain Lithuania pada aksi kelayakan Piala Dunia. FOTO Agensi
Penyerang Itali, Ciro Immobile (kiri) dicabar pemain Lithuania pada aksi kelayakan Piala Dunia. FOTO Agensi
AFP

Vilnius: Stefano Sensi meledak selepas waktu rehat dan kapten pasukan Itali, Ciro Immobile menambah gol kedua menerusi penalti untuk mengekalkan rentak kemenangan dalam Kumpulan C bagi kempen kelayakan Piala Dunia ketika mencatat kemenangan 2-0 ke atas Lithuania, pagi ini.

Juara dunia empat kali itu terlepas beraksi di pentas akhir Piala Dunia pada 2018, tapi mencatat tiga kemenangan selepas turut menewaskan Ireland Utara dan Bulgaria dengan kedua-dua berakhir dengan jaringan 2-0.

Roberto Mancini melebarkan rekod tanpa kalah kepada 25 perlawanan untuk menyamai rekod jurulatih yang memenangi Piala Dunia 2006, Marcello Lippi.

Kedua-duanya hanya kurang lima perlawanan untuk menyamai rekod juara dunia dua kali Piala Dunia, Vittorio Pozzo iaitu sebanyak 30 perlawanan.

"Jujur, satu perkara yang saya ingin menyamai Lippi adalah pada Disember 2022 (dalam Piala Dunia)," kata Mancini, 56, yang mengambil alih pasukan itu pada Mei 2018.

"Kami boleh bergembira kerana berada di kedudukan teratas kumpulan. Bagi kami ia umpama cawan sudahpun separuh penuh," tambah Mancini.

"Ia perlawanan ketiga dalam tujuh hari, sekalipun kami melakukan penggiliran dalam skuad kami tahu ia pastinya sukar.

"Kami harus mengambil kira keadaan fizikal pemain yang sangat letih dan permukaan (padang) yang kami tahu memberi cabaran besar.

"Perkara yang paling penting adalah menang, kita yakin dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang, agar tidak berdepan kesukaran besar bagi aksi akan datang."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 9:34 AM