STADIUM Sultan Ibrahim akan menyaksikan kehadiran semula penyokong. FOTO FB Johor Southern Tigers
STADIUM Sultan Ibrahim akan menyaksikan kehadiran semula penyokong. FOTO FB Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Tiada kaunter untuk jualan tiket akan dibuka oleh kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi pertembungan menentang Melaka United pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Jumaat ini.

Sebaliknya menerusi kenyataan di laman rasmi Johor Southern Tigers, hanya pemegang pas bermusim Platinum dibenarkan masuk ke stadium manakala pemegang pas bermusim Gold adalah terhad untuk masuk ke stadium bagi menyaksikan perlawanan JDT menentang Melaka United.

"Berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (MKN) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hanya membenarkan 2,000 penyokong yang boleh masuk ke stadium.

"Semua pemegang pas bermusim Platinum dibenarkan untuik masuk dan hanya perlu hadir ke stadium pada tarikh perlawanan dan membawa pas bermusim masing-masing.

"Bagaimanapun, jumlah yang dibenarkan untuk pemegang pas bermusim Gold adalah terhad ekoran syarat yang ditetapkan oleh MKN dan MFL," menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu juga memaklumkan, pemegang pas bermusim Gold perlu mengambil kod imbasan (QR Code) untuk pas masuk ke stadium di kaunter pandu lalu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada Khamis ini bermula 12 tengah hari hingga 8 malam atau pada hari Jumaat bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari.

Sebelum ini, MFL mengumumkan Stadium Sultan Ibrahim dipilih sebagai gelanggang pertama untuk membenarkan kemasukan penyokong dalam skala kecil bagi menyaksikan perlawanan saingan liga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 6:50 PM