Pemain JDT, Mohamadou Sumareh (kiri) cuba dihalang pemain Perak ketika aksi Liga Super, minggu lalu. FOTO FB JDT
Pemain JDT, Mohamadou Sumareh (kiri) cuba dihalang pemain Perak ketika aksi Liga Super, minggu lalu. FOTO FB JDT
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (JDT) harus bangkit untuk kembali menemui rentak kemenangan apabila melayani kunjungan Melaka United, di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puter, malam esok.

Skuad bimbingan Benjamin Mora tidak boleh lagi tercicir mata penuh selepas dipalit dua keputusan seri menentang Selangor 1-1 ketika aksi di laman sendiri pada 17 Mac lalu dan hampir diaibkan Perak FC namun bangkit dengan keputusan 2-2 ketika beraksi di Stadium Perak, 21 Mac lalu.

Apa yang diperkatakan Mora mungkin benar tatkala setiap pasukan yang menentang JDT akan `naik hantu' apabila menentang juara liga tujuh musim berturut-turut dengan penampilan aksi `luar biasa' dan ia JDT bakal menempuh situasi yang sama apabila berdepan skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan kelak.

Namun pengendali dari Mexico itu perlu mengambil inisiatif sendiri membentuk formasi permainan yang lebih ampuh kerana jika diamati apa yang ditampilkan kesebelasan utama JDT selepas mengharungi empat perlawanan, taktikal yang diterapkan Mora tampak sudah `dibaca' pasukan lawan.

Malah, beliau juga perlu memperkemaskan lagi set-piece apabila meraih sepakan sudut, ini berikutan ketika aksi menentang Perak FC baru-baru, JDT yang memperoleh 17 sepakan sudut gagal menoktahkan jaringan dan situasi itu amat merugikan.

Pemegang pas bermusim hadir ke Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin untuk mengimbas qr code bagi mendapatkan tempat untuk penyokong yang dibenarkan masuk ke stadium. FOTO Aisyah Mazalan
Pemegang pas bermusim hadir ke Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin untuk mengimbas qr code bagi mendapatkan tempat untuk penyokong yang dibenarkan masuk ke stadium. FOTO Aisyah Mazalan

Kelibat Bergson Da Silva juga harus mantap bagi membuktikan kredibiliti selaku penyerang utama dan perlu lebih kreatif mencari ruang melakukan percubaan berbahaya tepat ke arah gawang gol untuk membolos gol lawan.

Posisi tengah yang menjadi nadi utama harus memiliki kreativiti merencana strategi untuk membantu barisan serangan dan bijak menyekat barisan tengah lawan yang pasti melancarkan serangan ke kubu JDT malah Afiq Fazail yang agak tenggelam ketika aksi menentang Selangor FC dan Perak FC perlu bangkit dengan memperagakan aksi lebih matang.

Apapun, kehadiran penyokong JDT walaupun dalam skala kecil pada perlawanan itu nanti bakal menghidupkan kembali semangat juang barisan pemain untuk memberi persembahan lebih mantap bagi menjelmakan kembali tiga mata yang terlepas pada dua perlawanan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 1:48 PM