Penyokong menggunakan cecair pembersih tangan sebelum masuk ke stadium. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Penyokong menggunakan cecair pembersih tangan sebelum masuk ke stadium. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Urusan kemasukan penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) yang hadir menyaksikan perlawanan Liga Super pasukan juara liga tujuh musim berturut-turut menentang Melaka United FC (MUFC) di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini berjalan lancar.

Tinjauan di stadium berkenaan sejak jam 5 petang menyaksikan peminat sudah mula beratur mengikut prosedur standard operasi (SOP) dengan jarak fizikal di pintu masuk ditetapkan Peminat mula dibenarkan masuk ke stadium jam 6 petang dan mereka perlu mengimbas suhu, memakai cecair sanitasi serta mengimbas kod QR di pintu masuk automatik stadium berkenaan.

Wakil Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman dan wakil Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut melakukan pemantauan di sekeliling stadium.

Mohd Faris Haikal Mohd Nazrul, 16, berkata dia bersama 30 rakan penyokong bertolak dari Mersing jam 1 petang dan teruja dapat menjejakkan kaki ke Stadium Sultan Ibrahim.

"Setahun tidak ke sini (stadium) dan akhirnya hari ini kami dibenarkan memasuki stadium dan menonton perlawanan JDT menentang Melaka United.

"Prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan juga tidak sukar dan mudah untuk dipatuhi, kami juga diminta untuk mematuhi peraturan untuk menghadkan pergerakan ketika perlawanan dan waktu rehat separuh masa," katanya.

Bagi penyelaras kelab penyokong, Al Maliki Al-Haj, 50, berkata pematuhan SOP di stadium tidak menjadi masalah dan semua ahli kelab penyokong diarah untuk mematuhinya.

"Ini satu kerinduan yang terubat, kita minta untuk masuk stadium sejak perlawanan dengan Selangor sebelum ini, dan akhirnya hari ini kita dapat memasuki stadium menonton secara langsung," katanya.

Penyokong Boys of Straits (BOS), Nor Shazrin Nor Samsudin, 36, amat teruja dan gembira, namun akur dengan SOP dan peraturan norma baharu yang ditetapkan.

Perlawanan JDT menentang Melaka United malam ini menjadi perlawanan pertama yang membenarkan 2,000 penyokong hadir dan masuk ke dalam stadium selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 9:54 PM