FABINHO (kanan) diharap mampu mengulangi aksi ketika Liverpool menumpaskan Leipzig di Liga Juara-Juara. FOTO EPA
FABINHO (kanan) diharap mampu mengulangi aksi ketika Liverpool menumpaskan Leipzig di Liga Juara-Juara. FOTO EPA
Agensi

Liverpool: Aksi cemerlang Fabingo ketika menentang RB Leipzig dalam saingan Liga Juara-Juara sehingga membolehkannya meraih pemain terbaik perlawanan memberi bayangan bahawa pemain itu akan kekal di posisi tengah bertahan.

Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp seakan memberi bayangan bahawa Fabinho akan kekal di posisi berkenaan menjelang aksi menentang Wolves awal pagi Selasa.

Pemain kelahiran Brazil itu dilihat selesa dengan posisi berkenaan dan perbezaannya corak permainan Liverpool sangat mengagumkan.

The Reds berjaya mencatat kemenangan 2-0 sekali gus melupakan prestasi buruk mereka dalam saingan domestik dan cuba untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan.

Nathaniel Phillips dan Ozan Kabak sudah pasti akan cuba mengukuhkan tembok Liverpool di bahagian pertahanan tengah, manakala Fabinho akan memainkan peranan sebagai No. 6 (tengah bertahan).

Ini akan membolehkan Georginio Wijnaldum kembali kepada posisi asalnya lebih ke depan sementara Thiago Alcantara pula diberi kebebasan untuk bergerak mencipta peluang dan mencari ruang.

"Saya suka untuk mengatakan bahawa Gini Wijnaldum melakukan tugas dengan baik. Bagaimanapun, jika anda meletakkan Gini sebagai peranan No.6 anda pasti akan rindu aksinya sebagai No.8 (perancang), jadi banyak perkara perlu diselesaikan sebelum kita menyelesaikan apa yang patut.

"Ya, Fabinho membantu semua orang di atas padang untuk kedua-dua arah, jika dia mampu beraksi di posisi asalnya, selesai masalah.

"Ia juga akan menjadi lebih mudah buat Thiago, tapi ia bukanlah semudah seperti yang kita perkatakan, apabila seorang demi seorang pemain kembali ia bakal memudahkan kita," kata Klopp.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 3:33 PM