Pemain Liverpool, Georginio Wijnaldum (kanan) bersalaman dengan Juergen Klopp selepas aksi Liga Perdana berakhir. FOTO Agensi
Pemain Liverpool, Georginio Wijnaldum (kanan) bersalaman dengan Juergen Klopp selepas aksi Liga Perdana berakhir. FOTO Agensi
AFP

Liverpool: Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp berkata merampas tempat ke Liga Juara-Juara musim depan di hari kehadiran semula peminat ke Anfield bagi kemenangan 2-0 ke atas Crystal Palace adalah impian jadi kenyataan.

Sekalipun berdepan musim sukar mempertahan kejuaraan Liga Perdana Inggeris berikutan kecederaan panjang beberapa pemain utama, 10 perlawanan tanpa kalah berturut-turut buat Liverpool menamatkan kempen di tangga ketiga di belakang Manchester City dan Manchester United.

Penyokong berkurung ketika Liverpool menamatkan penantian 30 tahun untuk memenangi kejuaraan liga musim lalu kerana halangan Covid-19 dan kehadiran 10,000 peminat pagi ini adalah antara jumlah terbesar di Anfield untuk 14 bulan.

"Menamatkan saingan musim ini di tempat ketiga adalah menakjubkan. Saya tidak mempercayainya. Pujian kepada pemain, saya tidak percaya bagaimana ia boleh terjadi dalam tempoh beberapa minggu lalu," kata Klopp.

"Menakjubkan, (ia) impian yang terbaik. Kami mahukan perasaan seperti ini, perlawanan ini, suasana ini."

Klopp sukar menyembunyikan perasaan bakal kehilangan pemain yang cukup berpengaruh Georginio Wijnaldum selepas turut memberikan tepukan gemuruh pada penampilan terakhir pemain itu bersama Liverpool selepas Sadio Mane meledak dua gol dalam perlawanan itu.

Kontrak Wijnaldum dijangka tamat dan dikait rapat dengan perpindahan ke Barcelona.

"Gini Wijnaldum akan meninggalkan kelab dan kami menyayanginya," tambah Klopp.

"Kami akan merinduinya, dalam bola sepak adalah normal jika orang akan pergi, tapi saya tetap akan merinduinya."

Wijnaldum menang kedua-duanya Liga Juara-Juara dan Liga Perdana Inggeris ketika lima musim di Liverpool.

"Saya bertarung dengan kesedihan ketika ini," kata pemain kebangsaan Belanda itu.

"Saya harus memulakan cabaran baru. Saya tahu saya menyertai kelab besar. Saya masih ingat ketika duduk di ruang tamu dan pengurus berkata apabila saya datang ke Liverpool kami mungkin memperoleh hadiah. Saya gembira semua berjalan lancar.

"Saya mungkin lebih kecewa jika meninggalkan kelab tanpa apa-apa gelaran."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 9:12 AM