Pemain Selangor, Muhammad Syahmi Safari diasak dua pemain PDRM pada aksi Piala Malaysia di Stadium Shah Alam. FOTO Roslin Mat Tahir
Pemain Selangor, Muhammad Syahmi Safari diasak dua pemain PDRM pada aksi Piala Malaysia di Stadium Shah Alam. FOTO Roslin Mat Tahir
Syazwan Msar


SELANGOR gagal memanfaat peluang beraksi di hadapan penyokong sendiri selepas sekadar seri 1-1 menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam aksi kumpulan D, Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Skuad Gergasi Merah yang berpeluang mengukuhkan kedudukan di tangga teratas kumpulan dilihat tidak mampu mengekang asakan skuad bimbingan E Elavarasan sekali gus terpaksa berpuas hati membawa pulang satu mata.

Separuh masa pertama menyaksikan skuad bimbingan B Satiananthan gagal manfaat peluang terhidang malah percaturan Selangor untuk merobek gol lawan juga tidak menjadi.

PDRM pula yang mengharapkan serangan balas untuk menguji pertahanan Selangor turut gagal mencipta sebarang gol sekali gus tiada sebarang jaringan pada separuh masa pertama.

Babak kedua menyaksikan, Selangor tampil lebih meyakinkan dengan merencanakan serangan ke kubu lawan.

Hasilnya, Sandro Da Silva berjaya memecah kebuntuan gol pada minit 52 apabila bijak menyempurnakan hantaran Khyril Muhymeen untuk kedudukan 1-0.

Namun, kegembiraan Selangor tidak berpanjangan apabila Argim Redzovic mudah menanduk gol penyamaan hasil daripada sepakan percuma yang diambil Shahruain Abu Samah pada minit 59.

Penyerang PJ City, Pedro Henrique (kiri) melakukan percubaan ke arah gawang UiTM FC. FOTO Bernama
Penyerang PJ City, Pedro Henrique (kiri) melakukan percubaan ke arah gawang UiTM FC. FOTO Bernama

Walaupun kedua-dua pasukan rancak menyusun rentak memburu gol namun dihampakan dengan penyudah tumpul dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Selangor menduduki tempat kedua Kumpulan D dengan lima mata manakala PDRM pula berada di kedudukan ketiga selepas mengharungi tiga perlawanan.

Sementara itu, pada aksi Kumpulan B skuad PJ City menewaskan UiTM FC di Stadium Bandaraya Petaling Jaya.

Jaringan tunggal perlawanan oleh pemain import Pedro Henrique pada minit 29 sudah cukup untuk tuan rumah membawa pulang tiga mata penting sekali gus berada di kedudukan kedua kumpulan di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 11:11 PM