JURULATIH KL City, Bojan Hodak. -FOTO NSTP
JURULATIH KL City, Bojan Hodak. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kesilapan mudah yang dilakukan barisan pertahanan menyebabkan Kuala Lumpur (KL) City FC dihukum dengan kekalahan 1-0 kepada Selangor sekali gus kempunan untuk mendakap Piala FA pada musim ini.

Situasi terbabit diakui Ketua Jurulatih KL City, Bojan Hodak apabila aksi pusingan kedua Piala FA malam tadi jelas sekali bukanlah disebabkan pasukan lawan beraksi lebih baik namun berpunca kepada kesilapan diri sebelum dihukum oleh jaringan tunggal daripada tuan rumah.

Di sebalik perlawanan terbabit, Hodak mengakui gembira dengan corak permainan yang dipamerkan anak buahnya dalam perlawanan itu, namun kegagalan menghasilkan jaringan memusnahkan impian mereka melangkah ke suku akhir.

"Kami memperoleh beberapa peluang pada penghujung perlawanan, tetapi hari ini tidak bernasib baik kerana kami tidak berjaya menjaringkan gol.

"Ia perlawanan 50-50, kami melakukan satu kesilapan di bahagian pertahanan. Saya tidak fikir mereka mencipta peluang (untuk mendapatkan gol tunggal perlawanan)," katanya selepas perlawanan.

Terkeluar dari saingan Piala FA bakal memberikan KL City lebih banyak ruang untuk memperbaiki kedudukan mereka dalam Liga Super selepas menduduki tangga keenam dengan mengumpul 13 mata selepas 10 perlawanan.

Malah, anak buah Hodak juga berdepan tugas getir di saingan Piala AFC kerana dijangka berdepan wakil Vietnam, Viettel di pusingan separuh akhir Zon ASEAN yang dijadualkan berlangsung 10 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 1:22 PM