Penyerang Liverpool, Sadio Mane (dua kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan pada aksi Liga Juara-Juara. FOTO AFP.
Penyerang Liverpool, Sadio Mane (dua kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan pada aksi Liga Juara-Juara. FOTO AFP.
AFP

Budapest: Liverpool mengetepikan sementara pergelutan dalam aksi domestik untuk menewaskan RB Leipzig 2-0 pada perlawanan kedua kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara (UCL) pagi ini, untuk mara ke peringkat suku akhir.

Juara enam kali Eropah itu yang tewas enam kali berturut-turut di laman sendiri pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) bertuah kerana aksi berlangsung di Budapest berbanding di Anfield dan gol pada babak kedua Mohamed Salah dan Sadio Mane memastikan kemaraan mereka dengan agregat 4-0.

Sementara itu, di Paris, wakil Perancis, Paris Saint-Germain mara ke peringkat suku akhir UCL selepas mencatat keputusan 1-1 berdepan Barcelona dalam satu lagi aksi kedua kelompok 16 terakhir, untuk agregat 5-2 ketika Lionel Messi turut meledak satu gol dan terlepas penalti buat kelab gergasi Sepanyol berkenaan.

PSG terlebih dulu di depan selepas setengah jam perlawanan apabila Kylian Mbappe berjaya menyempurnakan sepakan penalti sekali gus muncul pemain muda pertama menjaringkan 25 gol pada kejohanan berkenaan.

Messi bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi jaringan dari jarak 25 kaki melepasi jangkauan penjaga gawang, Keylor Navas.

Bintang Argentina berkenaan tidak bernasib baik selepas itu apabila gagal menyempurnakan penalti sekali gus menyaksikan Barcelona tersingkir daripada kejohanan, 24 jam selepas bintang veteran, Cristiano Ronaldo bersama pasukannya, Juventus turut menerima nasib sama di Turin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 7:39 AM