CORREA (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
CORREA (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

Madrid: Atletico Madrid menewaskan Granada 2-1 untuk kekal di tangga teratas La Liga dengan kelebihan lapan mata.

Selepas seri di halaman sendiri ketika bertemu Celta Vigo, Isnin lalu, skuad bimbingan Diego Simeone kembali melakar kemenangan di Los Carmenes hasil gol kemenangan Angel Correa pada minit ke-74.

Sebelum itu Marcos Llorente meletakkan Atletico di depan minit ke-63 sebelum Yangel Herrera menyamakan kedudukan tiga minit kemudian.

Barcelona yang menduduki tangga ketiga dengan ketinggalan 11 mata di belakang Atletico, bakal bertemu Alaves sebelum pasukan tangga kedua, Real Madrid menanti kunjungan Valencia.

Simeone dilihat lega selepas tamat perlawanan selepas anak buahnya dapat mengelak daripada mencicirkan mata sekali lagi.

Luis Suarez yang sudah menjaringkan enam gol dalam tujuh perlawanan terakhir gagal menyerlah, sebaliknya Llorente dan Correa berjaya mengubah nasib Atletico.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2021 @ 11:51 PM