KHAMAL menegaskan KDA FC menerima keputusan dan faham situasi dihadapi MFL. FOTO NSTP
KHAMAL menegaskan KDA FC menerima keputusan dan faham situasi dihadapi MFL. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kelab Liga Malaysia (Liga M) memberikan maklum balas positif berhubung keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk memulakan saingan liga pada 5 Mac ini selain memahami sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Melalui apa yang dibentangkan dalam satu sesi taklimat yang dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Ab Ghani Hassan pada Rabu, rata-rata mereka memberikan persetujuan terhadap keperluan mengadakan Liga M dalam tempoh hampir tiga minggu sebaik kebenaran latihan diberikan pada 15 Februari ini.

Menurut CEO Kedah Darul Aman(KDA) FC Khamal Idris Ali, pihaknya menerima keputusan MFL untuk memulakan perlawanan Liga M pada 5 Mac selepas mendengar kekangan yang terpaksa dihadapi badan penganjur liga itu demi memastikan semua aksi liga dapat dihabiskan pada musim ini.

Beliau juga memahami beberapa keperluan lain seperti persiapan pasukan kebangsaan selain tarikh kalendar perlawanan antarabangsa yang ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

"KDA FC menerima keputusan MFL ini dan boleh menerima situasi yang dihadapi oleh MFL ekoran beberapa halangan tertentu yang tidak dapat dielakkan.

"Melihat beberapa faktor tertentu seperti pasukan kebangsaan juga perlukan ruang untuk membuat persiapan, kami perlu juga memahami atas kepentingan negara serta mengikut suara majoriti lain yang turut bersetuju.

"Kalau diikutkan, kerajaan sudah bagi kebenaran untuk kami bagi latihan dan adakan perlawanan pun, cukup satu berita yang menggembirakan dalam keadaan sekarang.

"Dalam situasi terkini, pasukan memang tiada pilihan dengan terpaksa kreatif mungkin menggunakan ruang yang ada untuk lakukan persediaan biarpun dalam tempoh yang singkat," katanya.

Sementara itu, CEO Kelantan FC, Norizam Tukiman menganggap saingan Liga M musim ini tidak perlu ditangguh lebih lama lagi dan bersyukur sekurang-kurangnya ia tidak dibatalkan terus khususnya dalam situasi pandemik Covid-19 yang tidak menentu ini.

Jelas Norizam, pasukannya sedar dengan tempoh masa yang agak terhad untuk berlatih, tetapi mereka akan mencari jalan terbaik bagi memastikan persiapan semua pemain berjalan dengan lancar seterusnya bersedia untuk memulakan perlawanan Liga Perdana pada musim ini.

"Saya menyambut baik dengan keputusan yang dibuat oleh MFL untuk memulakan liga pada 5 Mac, dan kita di Kelantan FC akan cuba gunakan baki beberapa minggu ini untuk buat persiapan dengan baik.

"Ini kerana pada saya kalau MKN sudah beri kebenaran dan MFL pun dah kata boleh, kita teruskan sahajalah, jadi mahu atau tidak, kita perlu bersedia juga memandangkan tempoh masa itu sudah ada.

"Mungkin kalau kita tengok daripada segi tempoh persiapan agak suntuk sedikit, tetapi yang penting kita sudah jelas di sini bahawa sukan bola sepak boleh berlangsung juga," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2021 @ 3:22 PM