Wan Muhammad Azraie (berdiri dua kanan) ketika mewakili Sabah musim lalu. FOTO Ihsan Sabah FC
Wan Muhammad Azraie (berdiri dua kanan) ketika mewakili Sabah musim lalu. FOTO Ihsan Sabah FC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Bekas penjaga gol nombor satu Sabah musim lalu, Wan Muhammad Azraie Wan Teh belum berhasrat untuk menggantung but meskipun masih belum dipinang mana-mana pasukan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Sebaliknya bekas penjaga gol Pahang, T-Team dan Terengganu FC (TFC) berusia 35 tahun itu menjelaskan dia setia menunggu tawaran daripada mana-mana pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya kerana yakin masih gagah dan cergas untuk melayang badan ke udara.

"Setakat ini tiada dalam diari saya untuk bersara lebih awal dalam sukan nombor satu itu biarpun belum mendapat tawaran daripada pasukan Liga Super ataupun Liga Perdana setakat ini.

"Ini kerana dengan usia selain posisi penjaga gol, saya berkeyakinan masih mampu mengerah kudrat menabur bakti sebagai benteng terakhir dalam pasukan, lagipun saya tetap menjalani latihan sendirian untuk mengekalkan kecergasan meskipun tanpa jurulatih.

"Kini saya menanti panggilan daripada mana-mana pasukan biarpun sedar masa kian suntuk kerana liga semakin hampir untuk dimulakan," kata penjaga gol kelahiran Kuala Ibai, Kuala Terengganu itu.

Dia yang lebih mesra dipanggil Joie hanya beraksi lima perlawanan bersama skuad Tambadau kendalian jurulatih berasal dari Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto musim lalu.

Faktor Liga Super yang dilangsungkan secara satu pusingan selain Piala FA 'dikorbankan' manakala Piala Malaysia dibatalkan pada peringkat suku akhir berikutan wabak pandemik Covid-19 menyebabkan minit bermain pemain kurang.

"Bola sepak adalah sebahagian perjalanan dalam hidup saya lebih-lebih lagi sukan ini diminati sejak di bangku sekolah rendah lagi, namun sekiranya tiada rezeki untuk kali ini saya tetap reda, mungkin saya akan usaha pada jendela kedua perpindahan pemain nanti." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 11:39 AM