SHARBINEE masih mampu menyumbang khidmat dan tenaga buat mana-mana pasukan. FOTO NSTP
SHARBINEE masih mampu menyumbang khidmat dan tenaga buat mana-mana pasukan. FOTO NSTP
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Bekas penjaga gol kebangsaan, Mohd Sharbinee Allawee Ramli akui belum bersedia untuk menggantung but walaupun kini bergelar usahawan.

Sebaliknya bekas penjaga gol Terengganu itu meluahkan hasrat untuk kembali mewarnai kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan jika khidmatnya masih diperlukan.

Pemain kelahiran Pulau Duyong, Kuala Terengganu itu menjelaskan dia bagaikan tidak sabar untuk kembali beraksi lebih-lebih lagi akui masih mampu menyumbang khidmat dan tenaga buat mana-mana pasukan selepas kali terakhir menyarung jersi Sarawak United musim lalu.

SHARBINEE (tengah depan bola) bersama pemain yang menyertai Liga Penalti Bolasepak Pantai di Gong Balai, hari ini. FOTO MALIK MUHAMAD
SHARBINEE (tengah depan bola) bersama pemain yang menyertai Liga Penalti Bolasepak Pantai di Gong Balai, hari ini. FOTO MALIK MUHAMAD

"Sejujurnya saya masih belum berniat untuk menggantung but walaupun pada musim ini tiada pasukan yang menawarkan kontrak, pada masa sama juga saya menguruskan perniagaan.

"Bagaimanapun jika ada tawaran pada musim depan dan ianya menarik, saya bersedia untuk kembali mewarnai kancah Liga M," katanya.

Penjaga gol yang membantu skuad kebangsaan memenangi pingat emas pada temasya Sukan Sea 2009 di Laos berkata demikian ketika ditemui dalam Kejohanan Liga Penalti Bolasepak Pantai, Komuniti Rukun Tetangga (KRT), Gong Balai bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan Negeri (NGO), hari ini yang turut dihadiri Pengerusi KRT, Abdul Rahman Ariffin.

Sementara itu Abdul Rahman berkata, selain liga penalti, turut diadakan kejohanan bola tampar, bola jaring, sukaneka, menjahit atap menggunakan daun nipah serta bergotong-royong.

"Alhamdulillah sambutan kali keempat yang diadakan sempena Hari Malaysia ini begitu menggalakkan diterima daripada pelbagai lapisan masyarakat dan komuniti, semangat sebegini yang perlu diteruskan bagi memupuk semangat perpaduan," katanya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 6:04 PM