REAKSI kecewa barisan pemain Arsenal selepas tewas kepada Aston Villa. FOTO EPA
REAKSI kecewa barisan pemain Arsenal selepas tewas kepada Aston Villa. FOTO EPA
AFP

Birmingham: Arsenal tewas kali kedua berturut-turut pada aksi Liga Perdana selepas gol awal Ollie Watkins membantu Aston Villa melakar kemenangan 1-0, hari ini.

Skuad bimbingan Mikel Arteta ketinggalan selepas hanya 74 saat di Villa Park dan gagal bangkit selepas itu untuk mendapatkan gol penyamaan.

Arsenal tewas di Wolves, Selasa lalu dan kini sudah mengharungi tiga perlawanan liga tanpa dapat melakar kemenangan.

Gunners kini menduduki tangga ke-10, kurang sembilan mata berbanding empat pasukan teratas dan peluang mereka untuk menempah tiket ke saingan Liga Juara-Juara tampak semakin sukar.

Ketika Arsenal bertemu Villa, November tahun lalu, mereka turut mengalami kekalahan 0-3 yang sekali gus terperosok di zon penyingkiran.

Meskipun Arsenal melakukan kebangkitan semula, Villa sekali lagi menunjukkan mereka masih mampu menewaskan skuad Arteta buat kali kedua.

Jentera serangan Arsenal nyata tumpul apabila hanya mampu meledak satu gol daripada tiga perlawanan terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2021 @ 11:04 PM