Jurulatih skuad bola sepak Malaysia, Tan Cheng Hoe (kiri) memerhatikan pemain jalani latihan. FOTO FILE NSTP
Jurulatih skuad bola sepak Malaysia, Tan Cheng Hoe (kiri) memerhatikan pemain jalani latihan. FOTO FILE NSTP
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Tanggal 4 Februari ini bakal menjadi hari penting buat skuad Harimau Malaya sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan atau sebaliknya.

Ini kerana jika ia diteruskan, kemungkinan latihan pusat skuad kebangsaan yang dirangka berlangsung pada minggu pertama Februari ini terpaksa ditangguhkan pada tempoh jendela aksi antarabangsa pertengahan Mac depan.

Pengurus pasukan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, beliau tidak dapat memberi pengesahan yang tepat mengenai butiran lengkap kem latihan itu kerana ia bergantung kepada situasi semasa perkembangan Covid-19.

Katanya, banyak faktor mempengaruhi persiapan pasukan termasuk isu perubahan aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, di mana ketika ini empat buat negara sudah memohon penundaan kempen daripada bulan Mac kepada bulan Jun.

"Tengah berkira-kira PKP ini sambung atau tak sambung. Kalau tak sambung, takut kelab pula nak pakai pemain (untuk persiapan Liga Malaysia pada 5 Mac).

Kalau sambung pula, kita ambil pemain ini yang sudah tentu dalam keadaan kecergasan yang rendah.

"Kalau boleh kita nak mereka datang dalam keadaan kecergasan yang baik supaya latihan nanti boleh ditumpukan kepada aspek lain.

"Fakfor AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) sama ada akan luluskan akan jadi faktor juga. Kalau AFC kata tak luluskan main bulan Jun, jadi kita kena juga main Mac.

"Mahu tak mahu kita kena juga buat latihan pusat bulan Februari. Sebab itu saya tak boleh nak jawab secara tepat," katanya.

Sebelum ini, skuad Harimau Malaya terpaksa melupakan hasrat berlatih pada 16 Januari lalu selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP sehingga 4 Februari ini.

Bagaimanapun, pada minggu lalu, Kementerian Belia dan Sukan sedia membantu skuad kebangsaan mendapatkan kebenaran mengadakan latihan Februari ini dengan SOP yang ketat dan ia disambut baik oleh FAM.

Untuk rekod, pasukan negara kini berpeluang untuk layak secara merit ke Piala Asia serta mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia di mana skuad kendalian Tan Cheng Hoe ketika ini menduduki tangga kedua Kumpulan G.

Malaysia dijadual menyambung kempen kelayakan dengan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai Mac ini selain Vietnam dan Thailand menanti selepas itu, dengan perlawanan masing-masing berlangsung di Bukit Jalil dan Bangkok.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 6:22 PM