Barisan pemain skuad Harimau Malaya menjalani latihan. FOTO File NSTP
Barisan pemain skuad Harimau Malaya menjalani latihan. FOTO File NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Hanya boleh mengharapkan 'belas ihsan' Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) untuk menunda perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 hingga ke Jun nanti.

Itu antara harapan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila memberi bayangan bahawa skuad Harimau Malaya kemungkinan tidak akan menjalani latihan pada waktu terdekat ini berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilanjutkan.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan skuad Harimau Malaya akan menjalani latihan pada pertengahan Mac nanti berdasarkan situasi semasa pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Beliau berkata, sesi latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) seperti yang dicadangkan sebelum ini pula perlu mengambil kira keadaan pemain Harimau Malaya terutama membabitkan penginapan bagi mengelak dijangkiti Covid-19.

"Saya tidak menolak jika melihat kepada keadaan semasa terutama PKP pula dilanjutkan sehingga 18 Februari menyaksikan waktu yang bersesuaian untuk memanggil barisan pemain Harimau Malaya adalah pada jendela aksi antarabangsa pertengahan Mac.

"Perkara terbabit tidak boleh dielakkan sekali gus mengharapkan AFC dan Fifa dapat menunda perlawanan terbabit kepada Jun seterusnya memberi lebih banyak peluang dan ruang kepada skuad Harimau Malaya untuk melakukan persiapan rapi.

"Selain itu, pada waktu berkenaan dijangka lebih ramai pemain Harimau Malaya dapat menyertai latihan sekali gus memudahkan jurulatih skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe merencanakan strategi," katanya.

Sebelum ini, skuad Harimau Malaya terpaksa melupakan hasrat berlatih pada 16 Januari lalu selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP yang hanya akan berakhir 4 Februari ini.

Bagaimanapun, pada minggu lalu, Kementerian Belia dan Sukan sedia membantu skuad kebangsaan mendapatkan kebenaran mengadakan latihan Februari ini dengan SOP yang ketat dan ia disambut baik oleh FAM.

Untuk rekod, pasukan negara kini berpeluang untuk layak secara merit ke Piala Asia serta mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia di mana skuad kendalian Tan Cheng Hoe ketika ini menduduki tangga kedua Kumpulan G.

Malaysia dijadual menyambung kempen kelayakan dengan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada Mac ini selain Vietnam dan Thailand menanti selepas itu, dengan perlawanan masing-masing berlangsung di Bukit Jalil dan Bangkok.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 8:42 PM