PERSIAPAN skuad bola sepak negara terjejas angkara Covid-19.
PERSIAPAN skuad bola sepak negara terjejas angkara Covid-19.
Firdaus Hashim

Petaling Jaya: Barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya terus menerima tamparan hebat apabila hasrat untuk mengadakan kem latihan pertama bermula Sabtu ini terpaksa dilupakan apabila ia sah dibatalkan.

Pasukan negara yang kali terakhir menjalani latihan pusat dan aksi antarabangsa pada November 2019 sekali lagi tidak dapat 'mengasah kuku' ketika pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 hanya berbaki dua bulan dengan Malaysia dijadualkan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai dan Vietnam di Bukit Jalil pada hujung Mac ini.

Menurut Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, pembatalan itu terpaksa dilakukan pihaknya selepas kerajaan mengumumkan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar bermula esok sehingga 26 Januari ini.

Jelas Hamidin, FAM akur dengan pengumuman itu yang dibuat oleh kerajaan bagi mengekang kes Covid-19 yang semakin membimbangkan hingga mencecah empat angka.

"Demi keselamatan dan kesihatan, kita kena akur dan terima. Pada saya (Hamidin), kesihatan lebih penting dan kita terpaksa batalkan latihan.

"Pasukan akan berlatih pada Mac nanti sebelum perlawanan kelayakan dan saya minta pasukan bersiap sedia untuk latihan itu," katanya pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ke-12 bagi sesi 217-2021 yang berlangsung di Wisma FAM, di sini, hari ini.

Sebelum ini, pengendali negara, Tan Cheng Hoe 'pening kepala' apabila memikirkan mengenai persiapan pasukan yang tidak dapat berlatih susulan pandemik Covid-19 sepanjang tahun lalu.

Malah, tugasan antarabangsa termasuk kelayakan Piala Dunia dan Piala AFF juga terpaksa ditunda oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) berikutan wabak itu.

Menurut Hamidin, AFC turut bercadang untuk melangsungkan baki aksi kempen kelayakan itu secara karnival, sekiranya Covid-19 tidak menampakkan pengurangan pada Mac ini.

"Saya ada bincang dengan Datuk Windsor (Setiausaha Agung AFC) dua hari lepas dan kalau Covid-19 ini tak reda, ada beberapa pilihan macam main secara karnival di satu tempat sahaja.

"Kita tetap kena habiskan perlawanan kelayakan itu sebelum Jun, tapi saya mahu juga Cheng Hoe jalankan macam biasa latihan pada Mac.

"Kita tak tahu apa nak berlaku kerana pandemik ini kita tak boleh nak jangka. Jadi pasukan kena bersiap sedia untuk perlawanan bulan tiga nanti," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 9:30 PM