KELAB Penyokong Bolasepak TFC merasakan tanpa kehadiran penyokong akan memberi kesan kepada pasukan. FOTO NSTP
KELAB Penyokong Bolasepak TFC merasakan tanpa kehadiran penyokong akan memberi kesan kepada pasukan. FOTO NSTP
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kelab Penyokong Bolasepak TFC meletakkan harapan yang tinggi agar Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dapat mencari kaedah terbaik membenarkan penonton masuk ke stadium sekalipun saingan Liga Malaysia (Liga M) dianjak ke tarikh baharu.

Presidennya, Mohd Isa Che Arifin berkata, ini kerana peminat sudah lama dahagakan untuk menyaksikan perlawanan secara langsung pasukan kesayangan mereka beraksi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada 18 Mac 2020.

"Saya berpandangan jika PKP atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan kemungkinan besar saingan Liga M turut dianjakkan ke tarikh baharu dan sudah pasti peminat sekali lagi tidak dibenarkan masuk ke stadium sebagaimana musim lalu.

"Situasi ini juga sudah pasti sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada pasukan kerana tidak dapat sokongan padu peminat.

"Jadi kami harap jika liga dianjakkan kepada tarikh lain usah sesekali pinggirkan peminat setia untuk masuk ke stadium sebagaimana musim lalu.

"Justeru FAM dan MFL perlu merancang sesuatu yang lebih baik buat semua peminat termasuk memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) yang sesuai kepada kami dan bukannya tidak membenarkan langsung penonton masuk ke stadium," katanya kepada Sukan NSTP.

Sebelum ini MFL mengeluarkan garis panduan hanya membenarkan 10 peratus ataupun maksimum 4,000 penonton tuan rumah menyaksikan perlawanan secara langsung di stadium jika kejohanan berjalan mengikut jadual bermula 26 Februari depan.

Bagaimanapun Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi minggu lalu menyatakan kemungkinan besar Liga M tidak dapat diteruskan mengikut jadual sekalipun PKP bersambung hanya dua minggu kerana pasukan hanya mempunyai masa kurang tiga minggu untuk membuat persiapan menjelang perlawanan pertama liga sekali gus mengundang resah buat peminat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 11:07 PM