Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu. -FOTO TFC
Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu. -FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Berita kebenaran penonton memasuki stadium bagi menyaksikan perlawanan bola sepak sudah lama dinantikan peminat setia sukan nombor satu itu.

"Selain itu kami lihat pengumuman itu tepat pada masanya ketika saingan Liga Malaysia (Liga M) kini memasuki saingan Piala Malaysia edisi ke-100 sekali gus dapat menyemarakkan lagi saingan paling berprestij itu," kata Presiden Kelab Penyokong TFC, Mohd Isa Che Ariffin.

Bagaimanapun beliau mengharapkan peminat setia dapat menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelak 'lampu hijau' bertukar menjadi 'lampu merah'.

Katanya, beliau meletakkan harapan yang tinggi agar pihak pengurusan stadium dapat memperkemaskan SOP dengan kawalan yang lebih tersusun bagi mengelak berlakunya kesesakan dan pada masa sama dapat menjauhi penularan wabak pandemik Covid-19.

"Alhamdulillah perkhabaran gembira apabila para penyokong dibenarkan menyaksikan perlawanan secara langsung di stadium walaupun saingan Liga M hampir melabuhkan tirainya.

"Terima kasih tidak terhingga kepada Perdana Menteri kerana dapat menyelami denyut nadi rakyat yang sekian lama mengharapkan berita gembira itu," katanya.

Semalam Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan peminat dibenarkan memasuki stadium bagi menyaksikan perlawanan bola sepak bermula dengan perlawanan ketiga saingan Piala Malaysia pada 29 Oktober ini.

Keputusan itu susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membenarkan kehadiran penonton ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi bagi negeri yang memasuki Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Fasa 2, 3 dan 4.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 2:18 PM