PEMAIN Tottenham Hotspur, Harry Kane (kiri) melepaskan rembatan ke arah gol Stoke City ketika aksi Liga Perdana Inggeris, malam tadi. - Foto REUTERS
PEMAIN Tottenham Hotspur, Harry Kane (kiri) melepaskan rembatan ke arah gol Stoke City ketika aksi Liga Perdana Inggeris, malam tadi. - Foto REUTERS

WEST Bromwich Albion berada di ambang penyingkiran daripada Liga Perdana Inggeris selepas seri 1-1 dengan Swansea manakala Stoke makin terjerumus susulan kekalahan 1-2 di tangan Tottenham, sebentar tadi.

Albion dikendalikan buat kali pertama oleh bos sementara Darren Moore berikutan pemecatan Alan Pardew minggu ini namun beliau gagal mengemudi kemenangan penting di Hawthorns.

Sekalipun West Brom menamatkan rentetan lapan kekalahan berturut-turut, agak jelas mereka akan beraksi dalam Liga Kejuaraan musim depan.

Bagaimanapun ada rangsangan buat Baggies apabila Jay Rodriguez merembat masuk pada minit ke-54.

Namun Tammy Abraham, yang beraksi secara pinjaman dari Chelsea, mengendurkan keyakinan Albion apabila dia menanduk masuk gol penyamaan Swansea pada minit ke-75 dari jarak dekat.

West Brom kekal di tangga tercorot carta dengan perbezaan 10 mata daripada zon selamat serta hanya 15 mata boleh diraih daripada lima perlawanan terakhir mereka.

Pasukan tangga kedua tercorot Stoke mungkin menyertai West Brom ke divisyen dua selepas tewas di Stadium Britannia.

Penyerang Tottenham, Harry Kane tampil dalam kesebelasan utama buat kali pertama sejak mengalami kecederaan ligamen buku lali bulan lalu, namun rakan sepasukannya Christian Eriksen lebih mencuri tumpuan.

Eriksen memecah kebuntuan pada minit ke-52 apabila pemain Denmark itu menyambut hantaran Dele Alli lalu merembat kencang ke penjuru gol.

Stoke menyamakan kedudukan pada minit ke-57 apabila penjaga gol Hugo Lloris melakukan kesilapan selepas cubaannya mengeluarkan bola singgah di kaki Mame Biram Diouf, yang menyepak ke dalam pintu gol ternganga.

Tottenham kembali di depan enam minit kemudian apabila sepakan percuma Eriksen terus menjunam masuk sekalipun Kane mendakwa dia melakukan sentuhan terakhir.

Stoke kekal empat mata berbanding zon selamat dengan baki lima perlawanan manakala Tottenham mengukuhkan kedudukan di tangga keempat dalam perebutan ke Liga Juara-Juara menerusi penamat empat terbaik.

Anak buah Mauricio Pochettino unggul 11 mata di depan pasukan tangga kelima Chelsea, yang menerima kunjungan West Ham malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 1:17 AM