AB Ghani berkata FIFA sudah menghantar surat pemakluman itu kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini. FOTO NSTP
AB Ghani berkata FIFA sudah menghantar surat pemakluman itu kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sudah melanjutkan tarikh jendela perpindahan pemain pertama sehingga 5 Mac ini untuk Liga Malaysia (Liga-M).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, FIFA sudah menghantar surat pemakluman itu kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini di mana perkhabaran itu mampu memberikan suntikan moral kepada pasukan untuk membuat persiapan lebih rapi selepas pihak kerajaan membenarkan semua pasukan menjalani program latihan bermula Isnin lalu.

Katanya lagi, MFL memohon tarikh lanjutan jendela perpindahan pemain pertama di atas faktor terdapat permohonan daripada pasukan yang hadapi masalah dengan pemain asing dan tempatan selain berkaitan dengan persiapan pasukan dalam tempoh PKP.

"Hari ini MFL menerima surat daripada FIFA yang melanjutkan tarikh baharu tempoh perpindahan pemain iaitu bermula 21 November 2020 sehingga 5 Mac 2021.

"FIFA dimaklumkan bahawa pasukan dalam Liga-M dibenarkan mula berlatih melalui program latihan berpusat bermula 15 Februari 2021 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Justeru, FIFA berpuashati dengan penjelasan MFL untuk memohon lanjutan tarikh jendela perpindahan pemain sehingga 5 Mac ini di mana pasukan-pasukan kini memiliki masa untuk mengintai pemain-pemain baharu untuk skuad mereka," katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Sebagai rekod, tarikh jendela perpindahan pemain pertama Liga-M sebelum ini bermula pada 21 November 2020 sehingga 12 Februari ini dilanjutkan kepada 19 Februari 2021 selepas mendapat kebenaran FIFA.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 10:25 PM