SUMAREH menggunakan klausa 8.7 untuk menamatkan kontraknya dengan skuad Tok Gajah. FOTO NSTP
SUMAREH menggunakan klausa 8.7 untuk menamatkan kontraknya dengan skuad Tok Gajah. FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pasukan Pahang sekali lagi menafikan dakwaan pihaknya membayar lewat gaji Mohamadou Sumareh yang menyebabkan tonggak naturalisasi negara itu mengaktifkan klausa 8.7 untuk menamatkan kontraknya dengan skuad Tok Gajah.

Sebaliknya Pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang mendedahkan bahawa sebenarnya Sumareh meminta agar pihaknya memasukkan gajinya ke akaun bank luar negara di mana ketika itu pemain sayap Harimau Malaya berkenaan berada di kampung halamannya, di Gambia.

Namun disebabkan proses pemindahan wang berkenaan membabitkan bank di luar negara yang perlu melalui beberapa peringkat, maka Sumareh menggunakan alasan itu untuk menuduh Pahang membayar lewat gajinya.

"Saya menafikan kalau dakwaan kata tak bayar gaji, kalau betul tentu akan ramai lagi pemain bangkit kata tak bayar gaji.

"Isunya ketika itu dia pulang ke negara asal, dan memohon supaya gajinya di bayar ke akaun negara luar. Jadi, ia ambil proses yang agak lewat sikitlah.

"Proses nak buat kena kelulusan dan sebagainya, nanti karang akan dipantau oleh Bank Negara dan sebagainya, susah jugakan.

"Jadi atas kelewatan itu sikit, dia bangkitkan isu berkenaan dan kita dah selesaikan perkara itu dan tak ada perkara berbangkit lagi," katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Kali Ke-4 yang berlangsung di Putrajaya, kelmarin.

Sementara itu, mengulas mengenai keputusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengenai isu Sumareh, Suffian meminta agar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membantu Pahang dalam menyelesaikan kes ini.

"Dari segi Pahang FC ataupun Pahang FA, sedang menanti keputusan daripada FIFA sebagaimana kita akur dengan apa juga saranan daripada FAM untuk menunggu keputusan FIFA.

"Jadi saya mohon FAM nanti dapatlah membantu dan membuka perkara ini supaya kita dapat mencari titik penyelesaian yang terbaik kedua-dua pihak.

"Masing-masing boleh bawa haluan sendiri, kita tak mahu kemelut ini berlaku lagilah, dah menjadi satu perkara yang saya rasa fenomena yang besar dalam negara sebab isu Sumareh ini.

"Oleh itu saya nak memohon kepada FAM kalau dapat melihat keadaan ini dan kita masih lagi menunggu jawapan daripada FIFA berkaitan dengan tindakan ke atas Suamareh ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 2:41 PM