LEE Tuck bersama isteri dan anaknya bergambar kenangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud sebelum pulang ke England Khamis lalu. FOTO ihsan Lee Tuck
LEE Tuck bersama isteri dan anaknya bergambar kenangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud sebelum pulang ke England Khamis lalu. FOTO ihsan Lee Tuck
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Bekas kapten Terengganu FC (TFC), Lee Tuck mendedahkan faktor utama dia memilih menyarung skuad Pahang musim depan adalah disebabkan pernah memasang impian untuk menyertai skuad Tok Gajah itu sebelum ini.

Selain itu pemain berdarah campuran Malaysia-England berusia 32 tahun itu juga mengakui skuad Pantai Timur itu begitu serius untuk melakar kejayaan.

Justeru pemain yang digelar 'Rooney Ganu' itu yang sudah empat musim beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) menjelaskan pemilihannya menyarung jersi skuad itu adalah tepat dan dia akui tidak sabar untuk memperagakan aksi bersama pasukan itu pada Februari tahun depan.

"Selepas TFC tidak berminat untuk menyambung kontrak saya musim depan walaupun saya masih berminat menyarung jersi pasukan itu, saya mendapat beberapa tawaran daripada pasukan Liga M dan kelab di luar negara.

"Tapi saya rasa Pahang adalah pilihan terbaik saya. Dalam minda saya skuad itu adalah pasukan yang patut saya sertai kerana antara sebabnya kelab itu profesional dan serius untuk mencapai kejayaan.

"Selain itu saya teringin untuk mewakili Pahang ketika saya mula beraksi bersama pasukan Negeri Sembilan pada 2017 selain pernah menentang pasukan itu dalam saingan Piala FA membuatkan saya memasang impian suatu hari nanti ingin menyarung jersi pasukan itu.

"Saya rasa mampu bermain di Pahang dan pastinya akan gembira kerana tempatnya yang menarik untuk saya tinggal dan ia bonus buat keluarga saya, malah penyokong mereka juga terbaik dan ia sudah pastinya menjadikan saya tidak sabar untuk menyarung jersi pasukan itu

"Saya memandang ke depan untuk permulaan liga 2021 dan berharap dapat memberi impak yang positif kepada pasukan itu sebagaimana ketika mewakili TFC selama tiga musim," katanya melalui aplikasi WhatsApp kerana dia sudah pulang ke negaranya, England pada Khamis lalu.

Mengulas lanjut, Tuck yang berjaya membantu TFC mara ke final Piala Malaysia pada 2018 selain layak ke pentas Asia musim depan selepas menghuni di tangga ketiga Liga Super musim ini mengesahkan dia mengikat kontrak selama dua tahun bersama Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).

"Impian untuk membantu pemain muda dan membangunkan pasukan Pahang membuatkan saya menyertai selama dua tahun bersama pasukan itu kerana saya nak menjadi sebahagian dalam pasukan Pahang untuk tempoh yang panjang.

"Lagipun saya berminat untuk menjadi sebahagian daripada pasukan Malaysia, jika boleh menjadi pemain naturalisasi itu lebih baik kerana hanya semusim lagi untuk mencukupkan syarat selama lima tahun," katanya.

Minggu lalu PBNP mengesahkan tonggak utama TFC itu yang masih menjadi pemain kesayangan skuad Penyu bakal menyarung jersi skuad Pahang walaupun pemain itu cuba dipancing beberapa pasukan termasuk Perak, Kuala Lumpur dan Petaling Jaya (PJ) City.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 12:17 PM