Faris Ramli (kanan) belum memutuskan destinasi baharunya musim depan. FOTO Ihsan TFC
Faris Ramli (kanan) belum memutuskan destinasi baharunya musim depan. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada orang Terengganu, pemain import Terengganu FC (TFC) kelahiran Singapura, Muhammad Faris Ramli belum lagi memutuskan destinasi baharunya musim depan.

Malah pemain terbaik skuad kebangsaan Singapura musim lalu itu yang meledak tiga gol bersama skuad Penyu musim ini dalam saingan Liga Super tidak mahu terburu-buru mengikat kontrak dengan mana-mana pasukan.

Katanya, setakat ini dia mahu berehat bersama keluarga terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan lebih-lebih lagi dunia berdepan dengan wabak pandemik Covid-19 yang sekali gus menyukarkannya untuk beraksi di luar negaranya.

Bagaimanapun, keputusan sama ada pemain itu terus mewarnai saingan Liga Malaysia (Liga M) atau kembali beraksi dengan kelab di negaranya masih menjadi tanda tanya kerana pemain itu mengambil sikap 'kunci mulut' berhubung perkara itu.

"Mengenai pasukan musim depan belum tahu lagi. Tapi kita lihat dulu macam mana keadaannya.

"Jika ada rezeki kita jumpa lagi.. sekarang kita rehat dulu," katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Kelmarin pemain berusia 28 tahun itu memuat naik ciapan di media sosialnya dengan ucapan selamat tinggal kepada orang Terengganu sekali gus membuktikan tiada lagi kelibatnya bersama TFC musim depan.

Kontrak pemain sayap lincah itu bakal berakhir hujung bulan ini dan aksinya bersama skuad Penyu tidak begitu mengecewakan walaupun kerap memanaskan bangku simpanan selain pernah dipinjam kepada pasukan Terengganu FC II (TFC II).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 11:40 AM