Dua pemain Selangor, Sandro Da Silva Mendonca (kiri) dan Muhammad Syahmi Safari (kanan) ketika beraksi pada perlawanan Liga Super bertemu Felda United, baru-baru ini. FOTO Bernama
Dua pemain Selangor, Sandro Da Silva Mendonca (kiri) dan Muhammad Syahmi Safari (kanan) ketika beraksi pada perlawanan Liga Super bertemu Felda United, baru-baru ini. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selangor dan UiTM FC masing-masing akan beraksi di luar Lembah Klang sebagai pasukan tuan rumah pada pusingan 16 kempen Piala Malaysia yang akan bermula Jumaat ini.

Red Giants yang sudah memenangi Piala Malaysia sebanyak 33 kali memilih Stadium Hang Jebat di Melaka sebagai venue untuk aksi berdepan Melaka United manakala UiTM FC pula menjadikan Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak sebagai lokasi menentang Kelantan.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, dua aksi berkenaan terpaksa dilakukan di luar Lembah Klang bagi mengikuti arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di wilayah itu sehingga 9 November ini.

Katanya, semua pasukan sudah sedia maklum dengan perubahan venue perlawanan dan beliau percaya saingan dapat dijalankan mengikut perancangan dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 yang ketat oleh semua pasukan dan pegawai perlawanan.

"Penjadualan perlawanan Piala Malaysia sudah dirancang dengan baik dan semua pasukan termasuk pasukan yang terpaksa beraksi di venue luar iaitu Selangor dan UiTM FC sudah bersedia untuk mengharungi perlawanan pusingan pertama pada minggu ini.

"Bagi memastikan kelancaran dalam tempoh Covid-19 ketika ini, MFL sebagai badan pengelola tidak akan berkompromi bagi pelaksanaan SOP dengan semua perlawanan mestilah berpandukan Garis Panduan Pengelolaan Perlawanan Liga Malaysia 2020 tanpa penonton.

"Adalah diingatkan bahawa sebarang kegagalan mematuhi dan pelanggaran SOP oleh pasukan adalah satu kesalahan serius dan akan dikenakan tindakan yang sewajarnya oleh MFL.

"Sebarang perubahan atau pindaan kalendar dan jadual adalah tertakluk kepada keputusan Ahli Lembaga Pengarah," katanya.

Sementara itu, dua lagi pasukan yang terbabit dengan PKPB iaitu Kuala Lumpur tidak akan beraksi minggu ini selepas mendapat bye dan layak automatik ke suku akhir.

Manakala PJ City FC pula akan bertandang ke gelanggang lawan berdepan Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Sabtu ini.

Manakala perlawanan-perlawanan lain tidak terbabit dengan PKPB boleh bermain di venue masing-masing iaitu juara Liga Perdana Pulau Pinang menentang Felda United FC di Stadium Bandaraya, juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan Kuching FA di Stadium Tan Sri Dato' Hj Hassan Yunos dan Kedah melawan Pahang di Stadium Darul Aman pada Jumaat ini.

Manakala satu lagi perlawanan membabitkan Perak dengan Kelantan United FC berlangsung di Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu.

Saingan suku akhir Piala Malaysia akan berlangsung pada 12 dan 13 November ini, separuh akhir (17 November) dan perlawanan akhir (22 November) dengan menggunakan format kalah mati tanpa timbal balik bermula pusingan pertama di mana venue suku akhir akan dimaklumkan sebaik tamat perlawanan yang berlangsung minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2020 @ 6:48 PM