Shahrul harap penyokong tidak lagi berdepan masalah dapatkan tiket final. FOTO NSTP
Shahrul harap penyokong tidak lagi berdepan masalah dapatkan tiket final. FOTO NSTP
Syazwan Msar


PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) akan menjual 26,610 tiket final Piala Malaysia 2019 termasuk 750 tiket kanak-kanak kepada penyokong Kedah di kaunter tiket perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Khamis ini.

Setiausaha Eksekutif KFA, Shahrul Samsudin, beliau melahirkan keyakinan bahawa sistem jualan di kaunter tidak akan menimbulkan sebarang masalah selepas beberapa perubahan yang dilakukan bagi meningkatkan kelancaran penjualan tiket seperti kuota pembelian bagi setiap penyokong.

Sejumlah 5,000 lagi tiket akan dijual secara dalam talian kepada penyokong Kedah tidak termasuk bagi kategori tempat duduk RM80, RM100 dan RM150.

“Jika mengikut apa yang dirancang kami akan meneruskan sistem penjualan tiket secara fizikal di Stadium Darul Aman berdasarkan pengalaman kami di separuh akhir dan final Piala FA.

“Kami sudah menambah baik sistem penjualan di kaunter tiket yang saya rasa lebih efisien serta memudahkan penyokong kerana mereka hanya perlu datang ke satu tempat untuk mendapatkan tiket final.

“Manakala 10,000 lagi tiket yang dijual dalam talian, 5,000 tiket berharga RM50 diperuntukkan kepada penyokong Kedah dan mereka boleh membelinya bermula Rabu ini,“ katanya selepas Mesyuarat Penyelarasan Perlawanan Akhir Piala Malaysia di ibu pejabat MFL, Kuala Lumpur, hari ini.

Jelas Shahrul, pengalaman mereka melangkah ke final sebelum ini termasuk mara ke perlawanan akhir Piala FA 2019 memudahkan mereka memahami aturan penjualan tiket yang ditetapkan.

Berdasarkan mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala Malaysia pada hari ini, Kedah turut diperuntukkan 4969 tiket berharga RM80, 2622 tiket berharga RM100 selain 550 tiket berharga RM150 yang dibeli secara dalam talian.

Aksi perlawanan akhir Piala Malaysia membabitkan Kedah dan juara Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) akan berlangsung Sabtu ini (2 November) dengan Stadium Nasional Bukit Jalil dipilih sebagai venue selepas kali terakhir digunakan pada 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 4:08 PM