Juara Liga Super, JDT antara pasukan pilihan julang Piala Malaysia. FOTO KHIS
Juara Liga Super, JDT antara pasukan pilihan julang Piala Malaysia. FOTO KHIS
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Kesemua 15 pasukan yang bertanding dalam saingan Piala Malaysia perlu memulakan kempen dengan 'gear lima' selepas format pertandingan diubah kepada kalah mati musim ini.

Berbanding saingan sebelum ini secara timbal balik di peringkat kumpulan sebelum memasuki fasa kalah mati juga dengan aksi timbal balik, justeru pasukan tidak boleh leka jika berhasrat untuk menjulang trofi tertua di Asia itu musim ini.

Bekas jurulatih PDRM FC, Mohd Fauzi Pilus berkata, kesemua pasukan perlu berada dalam tahap terbaik apabila memulakan kempen pada 6, 7 dan 8 November ini bagi mengharungi pusingan 16 terbaik untuk mencuri tiket ke suku akhir.

Katanya, berdasarkan perubahan format ekoran pandemik Covid-19 itu, semua pasukan tidak mempunyai masa untuk membuat sebarang eksperimen di mana setiap minit dalam perlawanan adalah penting.

"Tak boleh ada istilah lambat panas bila bermain dalam format kalah mati.

"Kalau liga sebelum ini mungkin fikir boleh bangkit pada aksi kedua atau timbal balik, tetapi kali ini ia hanya dimainkan sekali saja.

"Jurulatih dah tak ada masa nak mencuba atau nak bagi peluang kepada pemain baharu sebaliknya mereka sudah ada pelan terbaik untuk menurunkan kesebelasan mantap pada setiap perlawanan," katanya kepada Arena Metro.

Shakir Hamzah (empat dari kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada aksi Liga Malaysia. FOTO File NSTP
Shakir Hamzah (empat dari kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada aksi Liga Malaysia. FOTO File NSTP

Undian Piala Malaysia bakal dijalankan Ahad dengan 11 pasukan Liga Super serta enam pasukan Liga Perdana akan diundi bagi menentukan lawan dan pasukan yang menjadi tuan rumah untuk setiap aksi.

Bagaimanapun, daripada 16 pasukan yang layak bertanding menyaksikan Sabah terpaksa menarik diri selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak membenarkan perjalanan khas ke Semenanjung ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKBP) di negeri itu.

Berdasarkan kedudukan balang menjelang undian itu, dijangka balang A bakal diisi juara bertahan iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) diikuti bekas juara sebanyak 33 kali, Selangor disusuli Perak, UiTM FC, Kedah, Terengganu FC serta dua pasukan Liga Perdana iaitu juaranya musim ini, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Manakala, balang B pula akan diisi oleh Pahang, Kelantan, Petaling Jaya City, Melaka United, Kelantan United, Felda United, Kuching FA dan Sabah.

Dalam undian itu nanti, pasukan yang diundi bertemu Sabah akan diberi kemenangan percuma 3-0 sekali gus terus mara ke suku akhir.

Ditanya siapakah calon juara musim ini, Fauzi mengakui JDT adalah pilihan utama meskipun skuad Harimau Selatan itu hanya diperkuatkan barisan kedua di mana pasukan utama akan terbang ke Qatar bagi menyertai saingan Liga Juara-Juara Asia bulan depan.

"Saya pilih JDT sebab kita tahu walaupun mereka mungkin hantar pasukan kedua, tetapi kualiti yang ada pada mereka meletakkan mereka pada kelas tersendiri.

"Namun saya tak menolak kemungkinan pasukan lain seperti Selangor, Kedah, Perak, Pahang dan UiTM FC boleh cipta kejutan kerana format pertandingan yang menuntut konsistensi dari mula hingga akhir," katanya.

Musim lalu, JDT menjulang Piala Malaysia selepas mudah mengenepikan Kedah dengan 3-0 dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 10:09 PM