PEMAIN Chelsea meraih jaringan Ziyech (tengah). FOTO AFP
PEMAIN Chelsea meraih jaringan Ziyech (tengah). FOTO AFP
AFP

Burnley: Frank Lampard mengakui bahawa beliau teruja dengan kualiti yang dipamerkan Hakim Ziyech selepas pemain kelahiran Maghribi itu menjaringkan gol pertamanya dalam aksi Liga Perdana ketika Chelsea melakarkan kemenangan 3-0 di Burnley semalam.

Skuad bimbingan Lampard dilihat menguasai dari awal babak perlawanan sehingga tamat termasuk aksi mengagumkan dari Ziyech.

Ziyech meledakkan gol pertamanya bersama Chelsea selepas turut mencetak nama sebagai penjaring ketika mereka menang dalam saingan Liga Juara-Juara menentang Krasnodar.

Pemain berusia 27 tahun itu menyertai Chelsea dari Ajax, adalah pemain pertama yang menjaringkan gol dalam dua penampilan pertamanya bersama Chelsea dalam semua perlawanan sejak Diego Costa melakukannya pada 2014.

Kurt Zouma meledakkan gol kedua Chelsea selepas separuh masa pertama dan Ziyech membantu Timo Werner meledakkan gol ketiga untuk memastikan kemenangan pertama Chelsea selepas tiga perlawanan Liga Perdana seterusnya melonjak kedudukan ke tempat keempat liga.

"Saya amat kagum dan sangat teruja. Saya dapat melihat keperibadiannya dan usaha kerasnya mendapatkan bola," kata Lampard.

"Anda melihatnya hari ini. Kualiti yang anda berikan memberi sesuatu yang berbeza."

Selepas kunjungan ke Russia, persembahan meyakinkan dipamerkan oleh barisan Blues dengan pemain baru Ziyech, Werner dan Kai Havertz menunjukkan kualiti permainan yang langsung tidak terjejas dengan sebarang keadaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 11:47 AM